Selepas bangunan tertinggi, Dubai kini pegang rekod kolam selam terdalam

Agensi
Julai 17, 2021 12:31 MYT
Dengan kedalaman 60 meter (196 kaki), ia merupakan sebahagian daripada tarikan Deep Dive Dubai. - Foto REUTERS
DUBAI, lokasi di mana terletaknya pencakar langit tertinggi di dunia dan pusat membeli-belah terbesar di dunia.
Kini, kota metropolitan itu membuka satu lagi tarikan baharu, iaitu kolam selam terdalam di dunia.
Dengan kedalaman 60 meter (196 kaki), ia merupakan sebahagian daripada tarikan Deep Dive Dubai, sekaligus merampas rekod yang sebelum ini dipegang Deepspot Poland, yang mempunyai kedalaman lebih dari 45 meter.
Dengan kapasiti 14 juta liter air tawar, menyamai enam buah kolam renang Olimpik, ia secara rasminya ditabalkan Guinness World Book of Records sebagai kolam renang selam terdalam, pada 27 Jun lalu.
Buat masa ini ia hanya dibuka untuk jemputan sahaja tetapi akan mula dibuka untuk orang ramai pada akhir tahun ini.
Suhu air kolam dikekalkan pada 30 darjah Celcius (86 darjah Fahrenheit), suhu yang selesa untuk memakai sut nipis atau baju renang.
Kolam tertutup itu ditempatkan dalam struktur berbentuk tiram dengan keluasan 1,500 meter persegi. Ia menjadi simbol kebanggaan Emiriah Arab Bersatu sebagai negara utama dalam aktiviti pencarian mutiara, yang sudah bermula sejak 7,000 tahun dahulu.
Tetapi tarikan paling menarik di sini tentu sekali rekaannya yang berkonsepkan 'bandar bawah air'.
Penyelam dapat merasai pengalaman seolah-olah menerokai kota yang terbengkalai. Sistem pencahayaan dan suara yang canggih dipasang untuk mencipta suasana yang berbeza.
Kolam ini juga boleh berfungsi sebagai studio filem bawah air yang terbesar di rantau ini. Ruang suntingan turut disediakan.
Sebanyak 56 buah kamera dipasang sekitar kolam untuk memastikan keselamatan penyelam di setiap sudut.
Ia juga memiliki ruang hiperbarik paling maju di Asia, yang boleh menempatkan sehingga 12 orang pada satu-satu masa andai berlaku kecemasan.
Dan jika satu hari nanti anda berpeluang menyelam di sini dan berhasrat untuk ke melawat Burj Khalifa selepas itu, ada satu peringatan daripada Deep Dive Dubai.
"Jangan berkunjung ke puncak pencakar langit selepas menyelam," itu yang ditulis pada notisnya.
"Selepas menyelam, disarankan untuk menunggu 18 hingga 24 jam sebelum naik lebih tinggi dari 300 meter (1.000 kaki).
"Namun, tidak ada risiko menyelam selepas mengunjungi bangunan tertinggi di dunia."

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#Deep Dive Dubai #kolam #kolam selam #Dubai #SantaiHujungMinggu
;