Selepas 34 tahun, kek perkahwinan Puteri Diana masih boleh dimakan
Nizam Bakeri
Disember 17, 2015 21:46 MYT
Disember 17, 2015 21:46 MYT
Sebiji kek buah yang berusia 34 tahun bakal dijual pada harga £2,600 kerana kek tersebut berasal dari majlis perkahwinan Puteri Diana bersama Putera Charles, lapor Mirror.
Walaupun sudah berusia lebih tiga dekad, keadaan kek tersebut terpelihara dengan baik kerana kandungan alkohol yang tinggi.
Nota yang disertakan bersama-sama dengan kotak kek tersebut tertulis: “With best wishes from Their Royal Highnesses, The Prince & Princesses of Wales.”
Kek tersebut dinilai pada harga berkenaan dalam lelongan yang diadakan di rumah lelongan Nate D. Sanders.
Menurut petugas rumah lelongan tersebut, Sam Heller: “Perkahwinan Puteri Diana dan Putera Charles menarik perhatian seluruh dunia di sama ada di televisyen, akhbar, mahupun majalah. Sehingga ke hari ini, masyarakat umum masih tidak boleh melupakan mendiang Puteri.”
Tambah Heller, walaupun kandungan alkohol menyebabkan kek itu masih boleh dimakan, nilai kek tersebut tinggi kerana masih kekal dalam keadaan asal dan tidak terusik.
“Para pengumpul sudah pasti sanggup membayar harga yang tinggi untuk memiliki sebahagian dari sejarah dari perkahwinan tersohor abad ke-20,” jelas Heller.
Lelongan kek akan diadakan di Los Angeles Khamis ini.