Selamat tinggal Mac, April bawa harapan baharu pada masyarakat dunia
Asyraf Roslan
April 1, 2020 13:21 MYT
April 1, 2020 13:21 MYT
NAMPAKNYA, bulan ketiga dalam tahun 2020 ini banyak memberi cabaran kepada dunia termasuk masyarakat Malaysia.
Sejak penularan wabak COVID-19, ramai yang mengharapkan agar wabak ini akan berakhir dengan cepatnya.
Ini adalah ringkasan tentang perkara tumpuan ramai yang berlaku sepanjang bulan Mac 2020 :
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) DILAKSANAKAN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac.
Muhyiddin menegaskan tujuan utama perintah itu dikeluarkan adalah mengelakkan penularan wabak tersebut, dan ia tidak akan berjaya jika pergerakan rakyat terutamanya pergerakan balik kampung berterusan.
ASTRO BAGI SALURAN PERCUMA UNTUK RAKYAT MALAYSIA SEPANJANG TEMPOH PKP
Dalam usaha menyokong pelaksanaan PKP dan memastikan rakyat Malaysia kekal tenang dan duduk rumah, Astro dengan berbesar hati memberikan saluran percuma untuk semua pelanggan Astro.
Pada masa sama, Astro GO turut membuka peluang untuk orang ramai untuk menikmati saluran-saluran percuma melalui aplikasi tersebut secara percuma.
SIMPANG RENGGAM, SUNGAI LUI, HULU LANGAT DAN MENARA CITY ONE LAKSANA PKPD
Pada 26 Mac lepas, Kementerian Kesihatan mengesahkan 83 kes positif wabak COVID-19 telah dikesan di daerah Kluang, Johor.
Daripada jumlah itu 61 kes adalah dari Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Simpang Renggam.
Namun selepas beberapa hari, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata Kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. dan keseluruhan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah bermula 12 tengah malam 31 Mac.
ANUGERAH MELETOP ERA 2020 DITANGGUHKAN
Baiklah kita meninjau sedikit berita hiburan.
Dalam memastikan semua rakyat Malaysia dalam keadaan selamat, pihak penganjur Anugerah Meletop Era telah menangguhkan Anugerah pilihan peminat kepada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Majlis Anugerah yang sepatutnya berlangsung pada 12 April di Axita Arena, Bukit Jalil terpaksa ditunda gara-gara penularan wabak COVID-19.
DALGONA COFFEE TULAR
Sebut sahaja Dalgona Coffee, pastinya ada antara anda yang sudah merasa keenakan kopi yang tular sejak PKP dilaksanakan.
Bahan dan cara penyediaan yang mudah membuatkan ramai yang membuat kopi ini untuk di nikmati bersama yang tersayang.
Bukan sahaja memuat naik gambar, malah ada yang membuat video kreatif yang menjadikan kopi tersebut tampak lebih menarik dan mengiurkan pengguna media sosial.
Kepada anda semua, pastikan anda semua kekal berada di rumah dan sama-sama kita bantu semua petugas barisan hadapan dalam menghapuskan rantaian COVID-19 ini.
#DudukRumah untuk #HapusCOVID19.
#Bukit Jalil
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#Media
#media sosial
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#rakyat Malaysia