Selamat bersara, Palmerston! Penangkap tikus di Pejabat Luar Negeri UK tamat tugas

Agensi
Ogos 10, 2020 13:03 MYT
Palmerston 'pencen' selepas empat tahun menyumbangkan bakti. - Twitter/@DiploMog
Palmerston, kucing residen Pejabat Luar Negeri (FCO) United Kingdom, secara rasminya telah 'pencen' dari tugasannya menangkap tikus di sekitar pejabat, dan akan berpindah untuk 'menghabiskan lebih banyak masa untuk berehat'.
Dalam sekeping surat yang dikeluarkan pejabat itu bagi pihak Palmerston memaklumkan, si comel tersebut kini berada jauh dari Whitehall dan 'gembira memanjat pokok' daripada 'mendengar ucapan orang kenamaan asing'.
Kucing berbulu hitam dan putih itu mempunyai lebih 105,000 pengikut di Twitter, tiba dari Battersea dan memulakan tugasan pada tahun 2016.
Dinamakan bersempena nama Setiausaha Luar Negeri dan Perdana Menteri pada abad ke-19, Viscount Palmerston, kucing itu sering dilihat dalam gambar-gambar bersama pegawai kerajaan dan duta asing.
Palmerston dipilih daripada ratusan kucing jalanan lain yang ditempatkan di pusat perlindungan Battersea Dogs and Cats Home di barat daya London untuk membantu mengatasi masalah jumlah tikus yang banyak di bangunan FCO di King Charles Street, Downing Street.
"Palmerston telah menjadi duta yang hebat untuk Battersea. Selama berkhidmat di Pejabat Luar Negeri, ia telah membuktikan betapa hebatnya kucing jalanan, dan bagaimana ia membawa kegembiraan kepada orang ramai," kata ketua pusat perlindungan itu, Lindsey Quinlan.
Tidak diketahui di mana Palmerston akan berada selepas ini, namun ramai menjangkakan ia akan berada dalam jagaan salah seorang petugas FCO, yang menjaganya ketika perintah berkurung berkuat kuasa.
#kucing #London #Palmerston #United Kingdom
;