Selalu tengok mak ayah bergaduh, kesan pada emosi anak amat besar
Pa and Ma
September 5, 2021 10:01 MYT
September 5, 2021 10:01 MYT
TIDAK dinafikan setiap pasangan pasti pernah berselisihan faham.
Perkahwinan mana yang tidak pernah diuji. Apabila sesebuah pasangan berkahwin itu mempunyai anak, setiap keputusan yang diambil tidak bersifat peribadi dan melibatkan diri mereka sahaja.
Kita harus memikirkan keseluruhan penyelesaian untuk masalah itu demi anak-anak juga.
Sekiranya pergaduhan sering berlaku di hadapan anak, ia bukanlah pemandangan sihat untuk mereka.
Emosi mereka akan terjejas dan memberi kesan mendalam terhadap tumbesaran mereka.
Dalam pada kita memperjuangkan apa yang betul (bagi kita), anak-anak yang menanggung akibatnya.
APAKAH KESAN TERHADAP ANAK-ANAK JIKA IBU AYAH MEREKA SELALU BERGADUH?
1. Keyakinan Diri Terganggu
Anak-anak yang sering diabaikan kerana kemelut yang melanda kedua ibu bapanya akan sering merasakan merekalah punca kejadian itu.
Kajian yang pernah dijalankan juga menunjukkan mereka selalu menyalahkan diri sendiri kerana tidak membantu untuk menyelesaikan perkara itu.
Kerana tekanan itu mereka menjadi kurang yakin dengan diri sendiri dan mengalami kekeliruan.
Apabila kerap berlaku, ia boleh menyebabkan anak-anak mengalami kemurungan.
2. Emosi Tercalar
Tekanan melihat pergaduhan ibu bapa di depan anak menyebabkan mereka sukar mempercayai orang lain.
Segala kata cacian dan perlakuan ketika sedang bergaduh akan menyebabkan anak-anak mengalami trauma dan tantrum kerana ia ibarat mimpi ngeri buat mereka.
Kemurungan ini akan menjadikan mereka menjadi anti sosial dan kerap menjauhkan diri dari persekitaran yang sihat dan tidak mahu disayangi sesiapa kerana rasa khuatir diabaikan.
3. Tidak Menikmati Kehidupan Yang Bahagia
Memandangkan ibu ayah yang selalu bergaduh, anak-anak terbentuk menjadi dewasa sebelum usia mereka.
Apatah lagi jika selalu ditinggalkan, mereka dilatih dari awal untuk menjaga dan menguruskan diri sendiri.
4. Tidak Menunjukkan Emosi
Apabila terlalu kerap mendengar pergaduhan ibu ayah menyebabkan mereka lebih cenderung untuk memendam perasaan dan tidak mahu memihak kepada sesiapa.
Ini adalah kesan daripada kejadian terpaksa mendengar dan berada dalam situasi di mana ibu dan ayah bergaduh teruk.
Setiap apa yang mereka rasakan akan dipendam dan menjadikan mereka orang yang mempunyai krisis dengan emosi dan identiti sendiri apabila meningkat dewasa.
5. Tingkah Laku Bermasalah
Ketika membesar, anak-anak memandang ibu ayah mereka sebagai idola. Setiap perlakuan ibu ayah akan menjadi ikutan.
Jika sering berdepan dengan keadaan yang tidak baik ketika mereka membesar, itulah yang akan mereka ikuti.
Mereka cenderung untuk bertindak kasar. mereka juga sukar menilai kasih sayang sebenar kerana tidak pandai menilainya.
6. Cenderung Untuk Mengalami Gangguan Pelajaran
Apabila selalu melihat pergaduhan yang berlaku, anak-anak akan mengalami gangguan emosi sekali gus mengganggu prestasi pelajaran mereka.
Bukan sahaja mengalami masalah disiplin, anak-anak ini juga akan mengalami kesukaran memahami pelajaran dan hilang semangat untuk belajar kerana tekanan yang dihadapi.
7. Kesihatan Terjejas
Bukan sahaja emosi, tetapi kesihatan anak-anak yang sering menyaksikan pergaduhan.
Biasanya anak-anak ini akan mengalami sakit kepala, sakit perut, serangan lelah atau penyakit yang berulang.
8. Gangguan Tabiat Makan
Beberapa kajian mendapati anak-anak yang sering menyaksikan pergaduhan antara ibu ayah mereka akan berkait dengan masalah pemakanan seperti anoreksia atau bulimia.
Ketika marah, macam-macam boleh terjadi. Kita cenderung untuk melakukan perbuatan yang tidak baik atau mengeluarkan kata-kata kesat yang memberi impak bukan kepada pasangan tetapi anak-anak juga.
Sebagai ibu ayah yang bertanggung jawab, carilah penyelesaian yang terbaik dalam keadaan emosi yang stabil.
Capailah kata sepakat dengan cara yang baik supaya tidak menjejaskan kesihatan mental dan fizikal anak-anak yang disayangi.
Sumber: Verywellfamily
*Artikel asal di Pa&Ma
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !