Sekolah khusus untuk monyet curi tumpuan sempena Tahun Baru Cina

Syafique Shuib
Februari 7, 2016 17:49 MYT
Sekolah yang terletak di sebuah zoo di Dongying, Shandong itu mempunyai pelbagai kelas seperti kelas matematik dan kelas muzik. - Foto AFP /WANG ZHAO
Sebuah sekolah khusus untuk monyet bakal mencuri tumpang pengunjung di China sempena percutian Tahun Baru Cina yang bermula pada Isnin.
Menurut laporan AFP, sekolah yang terletak di sebuah zoo di Dongying, Shandong itu mempunyai pelbagai kelas seperti kelas matematik, kelas muzik dan kelas tarian.
“Ia seperti sekolah untuk manusia, tapi ini untuk monyet,” kata ‘pengetua’ sekolah, Takeshi Soma yang berasal dari Jepun.
Empat ekor monyet dilatih sebagai ahli band dan ‘penyanyi’ utama memakai tali leher berwarna merah serta mikrofon berwarna pink.
Persembahan mereka, bagaimanapun, tidak sempurna kerana ada monyet yang membaling gitar ke lantai sebelum beredar dari pentas.
“Monyet kami tidak begitu mendengar arahan kami dengan baik. Tetapi itulah yang membuat (persembahan) mereka lucu. Mereka menjadi diri mereka sendiri,” kata Soma kepada AFP.
China tidak mempunyai undang-undang untuk melindungi haiwan bukan terancam, namun terdapat terdapat kumpulan aktivis haiwan yang mengecam sekolah sedemikian kerana ianya dianggap kejam.
Bagaimanapun, disebalik kritikan ini, kerajaan tempatan masih berharap jumlah pengunjung akan meningkat sempena tahun Monyet.
“Kami akan mengambil kesempatan sempena tahun monyet… ini adalah tahun untuk mempromosikan ‘sekolah’ ini,” kata Presiden China-Japan Friendship Association Xiao Jingxia kepada AFP.
#sekolah khusus untuk monyet #Tahun Baru Cina #tahun monyet
;