Sedia juadah berbuka, Sabariah anak Malaysia jadi 'wira' di Montreal

Madiha Abdullah
Jun 23, 2017 09:54 MYT
Sabariah bagaimanapun tidak keseorangan kerana dia akan dibantu beberapa sukarelawan yang mahu turut sama membantu niat murninya.FOTO/Facebook CTV News
BAKTI boleh dicurahkan kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja. Apa yang penting adalah niat yang ikhlas.
Bagi Sabariah Hussein, perbezaan agama dan budaya bukan alasan untuk dia menabur khidmat kepada mereka yang memerlukan.
Nama Sabariah menjadi sebutan ramai apabila program berita stesen televisyen Kanada, CTV News, menyiarkan laporan berkenaan kegiatan amalnya.
Dalam usia 70 tahun, Sabariah yang tinggal di Montreal, menyediakan hidangan berbuka puasa untuk kira-kira 300 orang setiap hari.
Hidangan itu sedia dijamah sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang.
"Ini kehidupan saya. Satu kegembiraan bagi saya apabila melakukan semua ini," katanya kepada CTV.
Menyediakan makanan untuk mereka yang memerlukan sudah menjadi satu kebiasaan buat Sabariah sejak meninggalkan Malaysia, 30 tahun lalu.
Sabariah bagaimanapun tidak keseorangan kerana dia akan dibantu beberapa sukarelawan yang mahu turut sama membantu niat murninya.
Bukan sekadar menyediakan juadah berbuka, Sabariah juga dilaporkan aktif melakukan kerja sukarela di pusat-pusat perlindungan wanita di sekitar Montreal.
"Saya sudah berjanji untuk memberikan komitmen untuk membantu mereka yang memerlukan, dan saya tidak akan berhenti," katanya.
Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kegiatan amal Sabariah bolehlah mengunjungi laman Facebook Our 2nd Home Shelter.
#buka puasa #masakan #Montreal #Ramadan #Sabariah Hussein
;