Secangkir kopi jalanan, ilham percutian di Australia
Bernama
Februari 14, 2021 14:23 MYT
Februari 14, 2021 14:23 MYT
KOTA BHARU: Mengadaptasi inspirasi daripada peniaga kopi jalanan versi kereta di Australia, seorang bekas pegawai jualan tiket di sebuah syarikat penerbangan mencipta kelainan menjual kopi bru dekat Jalan Bayam di sini menggunakan van klasik demi meneruskan kelangsungan hidup.
Wan Mohd Naim Wan Mohd Ghazi, 35, yang kini bergelar barista berkata idea untuk menyajikan secangkir kopi yang paling nikmat untuk pencinta kopi menggunakan van klasik itu timbul selepas beliau diberhentikan kerja berikutan pandemik COVID-19 sejak Jun tahun lalu.
"Selepas enam tahun berkhidmat, saya diberhentikan kerja dengan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS), saya mula mencari idea untuk menjana pendapatan lain demi meneruskan kehidupan.
"Dari situ tercetus idea untuk berniaga kopi bru menggunakan konsep kenderaan hasil pengalaman ketika saya bercuti di Australia sekitar tahun 2013, yang konsep ini popular dalam kalangan masyarakat di sana," katanya ketika ditemui Bernama di Van's Street Coffee miliknya di Jalan Bayam di sini.
Bercerita lanjut, bapa kepada seorang cahaya mata yang berusia lima tahun itu berkata, sekitar November tahun lalu beliau mula mengikuti bengkel untuk menjadi barista terlatih, boleh menghasilkan pelbagai jenis kopi termasuk seni kopi selama dua bulan.
Wan Mohd Naim berkata pada awalnya beliau hanya memperkenalkan kepada rakan-rakan terdekat termasuk keluarga untuk mencuba kopi yang dihasilkan dan tidak menyangka kopinya itu mendapat pujian mereka sebelum mengambil keputusan untuk melakukannya secara serius.
"Saya melabur sebanyak RM20,000 untuk memulakan perniagaan ini termasuk membeli mesin untuk menghasilkan kopi serta alatan dan juga membeli van lama ini daripada ibu saudara berharga RM10,000 dan melakukan pengubahsuaian lengkap dengan kaunter untuk membancuh kopi seperti di kafe," katanya.
Berkongsi cabaran pada permulaan perniagaannya sejak sebulan lalu, beliau berkata pada awal pembukaan van kopi jalanan itu, beliau hanya mampu menjual sekitar 15 cawan kepada pelanggan, namun kini semakin bertambah dari hari ke hari selepas beliau mempromosikan di media sosial.
"Kini pelanggan saya mempunyai pelbagai pilihan kopi yang bermutu tinggi yang diperoleh daripada pembekal tempatan antaranya Latte, Cappucino, Americano, Hazelnut, Caramel, Mocha dan sebagainya yang dijual serendah RM5 sehingga RM8 secawan.
"Malah, lagi unik saya mula mencipta perisa kopi bermusim. Bermula minggu lalu saya mula memperkenalkan kepada pelanggan perisa kopi baharu, Coffee Orange's Street dan juga Orangened Street sempena sambutan Tahun Baharu Cina sehingga 28 Feb nanti," katanya yang turut dibantu dua pekerja.
Hampir setiap hari kecuali Ahad, Wan Mohd Naim akan membuka pintu belakang van klasik berwarna merahnya itu bermula 3 petang sehingga 9 malam untuk menarik perhatian pelanggan di sekitar Jalan Bayam.
"Matlamat saya membuka perniagaan kopi jalanan ini selain untuk menjana pendapatan, saya juga ingin memberi peluang kepada sesiapa untuk berpeluang menikmati kopi bru yang mempunyai cita rasa 'kopi mahal' namun hanya pada harga jalanan," katanya yang mampu meraih sekitar RM8,000 sebulan.
Seorang pelanggan tetap Mohd Nizarmuddin Mohamad Nor, 33, ketika ditemui berkata hampir setiap hari beliau akan membeli kopi jualan Wan Mohd Naim memandangkan ia mempunyai cita rasa yang tinggi namun dijual pada harga jalanan.
"Bagi penggemar kopi, van kopi jalanan ini adalah pilihan terbaik bagi menikmati rasa kopi bru yang enak seperti di restoran kopi yang popular namun dijual pada harga berpatutan," katanya.
-- BERNAMA/Noornasrin Salsabila Othman
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Wan Mohd Naim Wan Mohd Ghazi
#barista
#Kota Bharu
#kopi jalanan
#peniaga
#sara diri
#kelangsungan hidup