Sebar nilai positif, Smiley jalin usahasama eksklusif dengan Astro Media Solutions
Saraya Mia
November 26, 2020 10:19 MYT
November 26, 2020 10:19 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Media Solutions (AMS) mengumumkan jalinan perkongsian eksklusif bersama The Smiley Company (Smiley), sekali gus menjadikan AMS sebagai pemegang lesen media eksklusif bagi Smiley dan SmileyWorld di Malaysia mulai 1 Disember 2020.
Buat julung-julung kalinya, Smiley bekerjasama dengan sebuah syarikat media dan penyiaran untuk menyebarkan nilai positif dan kebahagiaan, menjadikannya nilai teras dalam usaha membantu jenama mengubah harta benda dan pengaktifan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.
"Di bawah perkongsian ini, AMS akan memperoleh hak eksklusif penggunaan tanda dagang Smiley dalam pakej iklan dan tajaan bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan pihak ketiga; digabungkan dengan kempen promosi di TV, radio, digital dan acara lapangan," menurut satu kenyataan.
Dengan perhubungan bersama jenama SmileyWorld, AMS dapat mengakses lebih daripada 3,000 ikon yang merangkumi rangkaian penuh emosi dan ekspresi bagi mengembangkan produk dan kempen agar dapat mencetuskan senyuman dalam kalangan rakyat Malaysia.
Di samping itu, AMS juga akan menjadi Pemegang Lesen Utama bagi Smiley, yang merangkumi pelesenan hak cipta untuk tujuan komersial; serta sub-pelesenan hak barang niaga, yang merangkumi barangan premium dan barang niaga runcit untuk menyokong pengiklanan atau kempen penajaan.
“Berbanding sebelum ini, kini dilihat banyak jenama berusaha untuk memastikan jenama mereka bergerak seiring dengan elemen kegembiraan, keprihatinan dan kesejahteraan demi meninggalkan kesan positif kepada pengguna. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Smiley, jenama pelesenan gaya hidup yang sinonim dengan kebahagiaan dan kemesraan yang diterima baik oleh seluruh dunia.
“Melalui perkongsian ini, kami berbesar hati untuk menawarkan peluang kepada pelanggan kami untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman 50 tahunnya, termasuklah barang-barang berjenama Smiley dalam kategori fesyen, aksesori, perhiasan rumah, makanan, barangan mewah, alat tulis, hiburan, dan banyak lagi," ujar Pengarah AMS, Wong See Wei.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Smiley, Nicolas Lourfrani, percaya bahawa cara terbaik untuk menyebarkan mesej positif mereka kepada orang ramai adalah dengan bekerjasama dengan organisasi media yang hebat.
"Kami berasa sangat bangga kerana telah ditemukan dengan rakan kongsi yang berfikiran serupa dengan kami, Astro, yang akan bersama-sama mengusahakan kandungan terbaik dan membantu kami mendekatkan diri dengan orang ramai dengan cara baharu," ujar Lourfrani.
Menyentuh soal sesi persekolahan dan pembelajaran yang terjejas sejak penularan wabak COVID19, AMS berhasrat untuk mengembalikan senyuman pada wajah para pelajar dengan menghasilkan kandungan yang memberi inspirasi serta membuka peluang kepada pelbagai jenama untuk mengambil peranan.
Smiley, yang merupakan di antara 100 IP berlesen teratas di dunia, telahpun berkolaborasi bersama pemain industri runcit (Nestlé, Unilever dan McDonald’s), rumah fesyen mewah (Loewe, Moschino dan Fendi) dan jenama-jenama paling bergaya (Adidas, Converse dan Chinatown Market).