SDW 2023 bakal pamer rekaan unik perabot, kraftangan tempatan dan antarabangsa
Nickyson Nyambar
Februari 10, 2023 21:25 MYT
Februari 10, 2023 21:25 MYT
KUALA LUMPUR : Lebih 200 gerai pameran bakal ditampilkan menerusi penganjuran Sarawak Design Week (SDW) 2023 yang mana bakal berlangsung bermula 13 Februari ke 16 Februari 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pameran yang julung kali diadakan itu bakal menampilkan pelbagai produk hiliran menarik, selain produk rekaan kayu kayan buatan tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, SDW 2023 yang dianjurkan dengan usaha sama Sarawak Design Centre (Saradec) dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia turut akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan.
"Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) juga mempunyai senarai peserta yang bakal mempamerkan pelbagai teknologi elektrik dan elektronik, rekaan dalaman dan perabot di booth mereka," memetik kenyataan media yang dikongsikan SDW pada Jumaat.
Jelasnya, pameran itu turut disertai beberapa nama yang tidak asing dalam industri produk tempatan, antaranya Yayasan Tun Jugah, Centexs Commercial, Ran & Nong Creations serta Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
"Pavilion SayD’Signers yang bertempat di ruangan utama pameran di BCCK bakal menampilkan pelbagai rekaan perabot yang dihasilkan pereka-pereka muda Bumi Kenyalang.
"Pameran SDW ini juga mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Terminal Industri (MINTRED), Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Jabatan Perhutanan Sarawak dan beberapa syarikat swasta lain,"
Pengunjung boleh menjangkakan pelbagai pameran menarik kraftangan hasilan tempatan yang direka khas sesuai dengan hiasan dalam rumah.
Antara lain, kata SDW, pameran itu juga membuka pintunya buat kraftangan-kraftangan, serta produk perkayuan yang dihasilkan khas oleh pemain industri dari negara jiran, Indonesia.
Pengunjung juga berpeluang untuk membeli-belah pelbagai produk yang dihasilkan oleh pengusaha kecil dan sederhana (SME) serta dari vendor-vendor terpilih.