Scam khidmat bersih rumah: Pegawai bank nyaris jadi mangsa

Astro Awani
Disember 18, 2021 11:30 MYT
Semuanya bermula apabila dia menggunakan pautan iklan di Facebook untuk menempah perkhidmatan pembersihan untuk rumahnya.
SEMAKIN canggih teknologi, semakin licik pula permainan si penipu.
Seorang pengguna Facebook, Rahayu Yusof, menceritakan bagaimana dia hampir menjadi mangsa scammer yang berselindung di sebalik perkhidmatan pembersihan rumah.
Untungnya, dia yang bertugas sebagai pegawai perbankan menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
Kata Rahayu, semuanya bermula apabila dia menggunakan pautan iklan di Facebook untuk menempah perkhidmatan pembersihan untuk rumahnya.
"Aku dengan pantas klik and dibawa ke WhatsApp. Chat (berbual) ala kadar, dia bagi mesej suruh download aplikasi sebab booking melalui aplikasi. Kaedah booking melalui aplikasi sekarang memang common. Aku pun ikut arahan tanpa berfikir.
"Sampai ke laman web, aku pun klik pautan. Desperate nak cari cleaners, tak terfikir kenapa tak masuk Google Play untuk download aplikasi itu," tulisnya.
Bagaimanapun, paparan mesej gangguan teknikal yang diterima sebaik selesai membuat pembayaran membuatkan dia sedar dan segera membuat pertukaran maklumat log masuk ke akaun perbankan atas taliannya.
“Kalau memilih cara bayaran guna platform perbankan dalam talian, selalunya pengguna akan dibawa ke satu halaman dengan interface (antaramuka) yang meminta ID pengguna sahaja.
"Selepas diisi, barulah dibawa ke antaramuka seterusnya yang menunjukkan imej pengesahan, dan kemudian ke halaman baharu yg meminta kata laluan.
“Tapi yang halaman scam ni, dalam satu page yang sama, ia meminta user ID dan password sekali.
“Itu yang boleh kelirukan pengguna, sampai terdedahkan password,” ceritanya lagi.
Tambahnya, sindiket itu sangat licik kerana memaparkan antaramuka yang hampir mirip dengan yang sebenar, siap dengan logo bank.
Menurut pengalaman Rahayu, biarpun sempat menukar maklumat log masuk, dia mendapat pemberitahuan bahawa scammer tersebut tidak berputus asa mencuba masuk, sehingga akaunnya disekat gara-gara cubaan memasukkan log masuk yang salah berulang kali.
Untuk tujuan keselamatan, Rahayu telah bertindak menyekat semua akses M2U, kad ATM and kad kredit miliknya. Tindakan pantas itu membuatkan pelaku scam tersebut tidak sempat membuat sebarang transaksi mahupun mencuri identitinya.
"Scammers ni lagi bijak daripada kita. Aku yang celik IT pun terkena, apa lagi mereka yang memang pengguna online yang biasa," katanya yang berpesan agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran iklan perkhidmatan membersih rumah yang ditemui secara dalam talian.
#scam #WhatsApp #Facebook #bank
;