"Saya kawal makan, elak terlalu gemuk dan berat saya tak lebih 62 kg" - Tun M

Hafizi Rosli
Januari 17, 2021 12:09 MYT
Selain menjaga pemakanan, Tun Dr Mahathir juga sentiasa menyibukkan diri dengan kerja-kerja di pejabat untuk memastikan mindanya terus berjalan - Gambar Instagram @chedetofficial
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir dikenali ramai sebagai seorang yang sangat mementingkan kesihatan dirinya.
Seperti yang sering dikongsi beliau sebelum ini, cara menjaga kesihatan adalah dengan mengawal pemakanannya.
Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu mempunyai amalan mengawal pengambilan makanannya setiap hari supaya tidak makan melebihi hadnya.
“Perkara utama saya lakukan adalah elak jadi terlalu gemuk, ini bermakna kita tak boleh makan terlalu banyak.
“Bila berasa sedap (makan) berhenti, ini memang susah tapi ini amalan saya. Jadi saya makan cukup-cukup saja. Berat saya tak pernah lebih daripada 62 kilogram sudah lebih 30 tahun,” Dr Mahathir berkongsi rahsianya ketika ditemubual secara eksklusif dalam program AWANI Pagi pada Ahad.
Elakkan makan, tidur berlebihan, terus aktif walau sudah berusia
BACA: Siti Hasmah bersolek lebih satu jam, suami perlu bertoleransi - Tun M
Resipi kebahagiaan rumah tangga Tun Dr Mahathir dengan Tun Dr Siti Hasmah
Jelas Dr Mahathir, apabila berat badan seseorang itu terlalu tinggi, ia akan memberi tekanan kepada jantung.
“Saya juga ada sakit jantung, namun penyakit-penyakit kronik lain Alhamdulillah saya tiada dan sebab itu saya nampak lebih sihat daripada umur saya,” katanya lagi.
Dr Mahathir yang bakal menginjak usia 96 tahun selama ini banyak berkongsi tips kesihatannya kepada umum.
Antaranya, kata negarawan itu, untuk terus kekal aktif terutama bagi individu yang sudah berusia ialah dengan mengelak tidur terlalu lama.
“Biasanya kalau sudah tua, badan lemah sikit, ramai orang akan tidur. Jadi bila tidur badan dan otak akan jadi lebih lemah kerana otot-otot dan minda tidak digunakan.
“Bolehlah nak tidur tapi sekejap-sekejap sahaja. Yang selebihnya pergi berjalan, menulis dan kalau ada perbincangan boleh sertai.
“Sebab itu saya selalu sibukkan diri saya dan kekal aktif. Saya suka kalau kerja, sebab kerja minda saya akan berjalan," kata Dr Mahathir berkongsi kegemarannya mengisi lapang.
Bercakap mengenai aktiviti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan ketika ini, Dr Mahathir memastikan beliau juga memberi tumpuan pada penjagaan kesihatan mentalnya.
Paling utama, kata beliau ialah sentiasa berhubung dengan anak-anak serta cucu-cucunya kalau bukan secara bersemuka, panggilan telefon dan video menjadi pilihannya.
“Sekarang saya dibenar untuk ke pejabat dan ramai orang ingin temuramah saya, jadi saya sibukkan diri saya dan kadang-kadang balik rumah jam 6.00 petang,” katanya lagi.
PKP | Tun M akur duduk di rumah, jalankan aktiviti harian seperti biasa
#Mahathir Mohamad #kesihatan #makan #gaya hidup #PKP #Tun M #negarawan
;