"Saya bangga benarkan gol itu" - Pengadil dalam insiden 'Hand of God'
Agensi
November 28, 2020 12:43 MYT
November 28, 2020 12:43 MYT
RABU lepas, dunia meratapi pemergian legenda bola sepak dunia, Diego Maradona yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Kehebatan dan kelincahannya di atas padang sentiasa menjadi bualan namun satu perkara yang akan terus kekal dengan Maradona sampai bila-bila adalah gelaran ‘Hand of God’.
Gol kontroversi dalam Piala Dunia 1986 itu dan satu lagi gol dari Maradona berjaya menyingkirkan England di peringkat suku akhir dan akhirnya Argentina menjuarai kejohanan itu.
Pengadil perlawanan tersebut, Ali Bin Nasser dari Tunisia, sekarang berusia 76 tahun berkata, dia ‘berbangga dan berbesar hati’ membantu Maradona menjaringkan gol terhebat abad itu.
Bukan gol ‘Hand of God’, sebaliknya, jaringan hasil larian solo pemain itu dari tengah padang, menewaskan beberapa pemain England sebelum akhirnya mudah menumpaskan penjaga gol, Peter Shilton yang ketika itu berada di prestasi terbaik.
“Dia ambil bola dari kawasan tengah dan saya mengikuti rapat pergerakannya. Bila anda menjadi pengadil dan ada Maradona dalam perlawanan itu, anda tidak boleh lepaskan pandangan kepadanya.
“Mereka (pemain England) cuba menjatuhkannya berulang kali tapi keinginannya untuk menang perlawanan itu terus membawanya ke depan.
“Setiap kali diterjah, saya jerit “advantage” sehinggalah dia sampai ke dalam kotak penalti.
“Dari luar kotak penalti, saya terfikir bagaimana pemain berbadan kecil seperti dia menewaskan tiga pertahan, memecut hampir 50 meter. Saya fikir pertahanan akan cuba jatuhkan dia sekarang.
“Saya jangkakan itu berlaku dan saya bersedia untuk berikan penalti tapi saya terkejut, dia menggelecek dan melepasi pertahanan dan kemudian penjaga gol.
“Selepas itu, anda semua tahu, muncullah “goal of the century”,” katanya seperti dilaporkan BBC.
“Saya berbangga dan berbesar hati kerana sebagai pengadil, saya memainkan peranan dalam pencapaian bersejarah itu.
“Kalaulah saya tiup wisel setiap kali dia cuba dijatuhkan, sudah tentu kita tidak akan dapat menyaksikan antara gol terbaik dalam sejarah.
“Advantage yang saya berikan merupakan pencapaian yang paling membanggakan,” ujarnya.
Menceritakan semula gol ‘Hand of God’, Bin Nasser berkata, pada waktu itu, Maradona dan Shilton kedua-duanya tidak menghadap saya.
"Mereka menghadap penolong pengadil saya, Bogdan Dochev dari Bulgaria.
"Pada awalnya saya ragu-ragu, saya memandang ke arah Dochev, yang kembali ke tengah padang dan mengesahkan gol. Dia tidak memberi isyarat bola terkena tangan,” ujarnya.
"Arahan yang diberikan FIFA kepada kami sebelum permainan jelas - jika rakan sekerja berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada saya, saya harus menghormati pandangannya."
Dochev, yang meninggal dunia pada tahun 2017 ketika berusia 80 tahun pernah mengatakan bahawa "FIFA tidak membenarkan pembantu membincangkan keputusan dengan pengadil".
"Sekiranya FIFA meletakkan pengadil dari Eropah yang bertanggungjawab atas perlawanan yang begitu penting, maka gol pertama Maradona tidak akan disahkan," tegasnya.
Namun, Bin Nasser berkata, semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh pemain England itu sangat bagus.
Dia masih ingat: "Gary Lineker menghampiri saya dan berkata 'tolong pengadil, bola kena tangan!”
“Saya jawab: Teruskan permainan!”
"Bagi saya, itu adalah 100 peratus gol menurut garis panduan FIFA,” katanya.
#Maradona
#Diego Maradona
#Argentina
#England
#Hand Of God
#FIFA
#Tunisia
#bola sepak
#meninggal dunia
#Piala Dunia
#serangan