Sate lazat dalam 'kong' jadi tarikan di Sarikei

Nickyson Nyambar
November 30, 2019 17:54 MYT
Keunikan sate dalam 'kong' menarik minat ramai untuk mencubanya. - Astro AWANI
Mudah dibawa, mudah dihidang, mudah dikemas selepas selesai makan! Cara pembungkusannya yang lain daripada yang lain membuatkan produk yang dinamakan Sate Kong ini begitu unik.
Kong dalam bahasa Sarawak bermaksud tin. Dengan panggilannya sebegitu, pelanggan terutamanya orang dari luar kawasan, tidak lagi perlu hairan sekiranya melihat sate ini dibungkus di dalam bekas tersebut.
Sate Kong ini adalah hasil inovasi Abang Yusuf Abang Wasli sekeluarga. Idea unik menjual sate di dalam kong itu tercetus apabila anaknya, Siti Aisyah, berkunjung ke bandar raya Kuching dan membeli kopi yang diletakkan dalam tin-tin kecil.
Dia seterusnya mencuba resepi baharu dengan meletakkan sate yang telah dibakar di dalam ‘kong’ bersama kuah yang diadun mengikut resipi istimewa keluarganya.
Setiap tin boleh memuatkan sekitar 8 hingga 17 cucuk sate, manakala harganya bergantung pada jumlah dan saiz sate di dalamnya iaitu di antara RM7 dan RM15.
Perusahaan Sate Kong oleh Abang Yusuf ini juga mendapat sokongan dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti keluarannya. Ini termasuk menyediakan alatan penghasilan produk sate berasaskan sejuk beku.
“FAMA sudah meluluskan, cuma menunggu peralatan khas untuk menumbuk kacang dan peti simpanan beku. Jika sudah ada, saya akan usahakan sate sejuk beku untuk Sarawak dahululah,” katanya.
Ujar Abang Yusuf, ini kerana sambutan bagi Sate Kong ini sangat luar biasa sehingga mampu melebarkan pasaran luar dari Sarikei antaranya di Sibu, Saratok, Sri Aman dan Kuching.
Bagi yang ingin merasai keenakannya, datanglah ke Bandar Nanas, Sarikei. Ia beroperasi dari pukul 3 petang sehingga 7 malam di Taman Susur Jambu setiap hari.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Sarawak #Sarikei #Sate Kong
;