Sasaran 30 ribu pengunjung di Karnival dan Hari Terbuka Putrajaya
Afiezy Azaman
Oktober 5, 2019 12:52 MYT
Oktober 5, 2019 12:52 MYT
Buat julung kalinya Karnival dan Hari Terbuka Putrajaya diadakan serentak bagi mengukuhkan integrasi Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama komuniti serta memberi peluang kepada semua kementerian menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran seramai 30 ribu pengujung bagi kedua-dua program itu.
“Karnival Putrajaya yang diadakan bermula 4 hingga 6 Oktober menyajikan sebanyak 37 acara menarik termasuk Tazkirah Muzikal, Pertunjukan Komuniti Antarabangsa, Bazar Usahawan, aktiviti sukan dan sebagainya.
"Manakala Hari Terbuka Putrajaya yang diadakan pada 5 Oktober (hari ini) pula menawarkan lebih 200 perkhidmatan daripada 23 kementerian serta 101 agensi kerajaan bermula 9 pagi hingga 6 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata antara perkhidmatan yang disediakan adalah diskaun saman trafik, pemasangan RFID percuma, Karnival Kerjaya, semakan wang tidak dituntut, urusan pencen, jim percuma dan banyak lagi.
“Karnival Putrajaya dianjurkan oleh PPj dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk manakala Hari Terbuka Putrajaya adalah acara kolaborasi antara PPj bersama Pejabat Ketua Setiausaha Negara, semua kementerian dan agensi kerajaan,” jelasnya lagi.
#agensi kerajaan
#Datuk Dr Aminuddin Hassim
#diskaun
#Hari Terbuka Putrajaya
#Karnival Putrajaya
#kementerian
#kerajaan
#Majlis Perwakilan Penduduk
#Pejabat Ketua Setiausaha Negara
#Perbadanan Putrajaya
#rakyat
#saman trafik