Sarawak dapat perhatian di ITB Berlin 2024

Astro Awani
Mac 7, 2024 10:50 MYT
Kempen Gateway to Borneo jadi langkah strategik bagi menempatkan Sarawak sebagai pintu gerbang utama ke Borneo.
KUALA LUMPUR: Sarawak mendapat perhatian di pentas Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin 2024 sempena pelancaran transformatif kempen 'Gateway to Borneo' bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul.
Selaras dengan tema ITB 2024, ‘Take Travel Technology to the Next Level. Together,’ Sarawak kini melalui era baharu dengan memberi penekanan kepada digitalisasi pelancongan dalam mempromosi pelbagai kebanggaan semula jadinya kepada seluruh dunia termasuk budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival.
Kempen ini mengambil pendekatan ‘brand refresh’ yang strategik bagi mengetengahkan Sarawak sebagai pintu gerbang utama ke Pulau Borneo, merangkumi Kalimantan, Sabah dan Brunei.
Kempen ini juga bertujuan meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan unggul, di samping menarik minat pelancong dari seluruh pelusuk dunia untuk mengunjungi dan melalui pelbagai pengalaman yang tersedia di Sarawak.
Seiring dengan tema utama kempen ini adalah logo destinasi "Sarawak More to Discover" (SMTD) yang juga telah melalui ‘brand refresh’ sebagai langkah menyegarkan pendekatan strategik pemasaran untuk terus menempatkan Sarawak sebagai sebuah destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan, dan festival, bersama dengan pengalaman autentik yang sukar ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
Logo baharu SMTD mencerminkan visual hutan hujan tropika Sarawak, daya tarik air pesisirnya dan kepelbagaian kumpulan etniknya.
Logo ini juga memaparkan ‘silhouette Rhinoceros hornbill’ yang menjadi simbol ikonik Sarawak, dikenali sebagai, "Land of the Hornbills."
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah: ”Kami sangat berbangga melancarkan evolusi naratif pelancongan Sarawak dengan kempen 'Gateway to Borneo' ini.
“Pendekatan yang diambil ini bukan sekadar perbezaan geografik tetapi juga menampilkan estetik kontemporari dan kelestarian abadi, bersesuaian dengan selera pelancong antarabangsa.
“Langkah strategik ini jelas mempamerkan komitmen Sarawak kepada digitalisasi, malah menekan dan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pintu gerbang kepada pelbagai kekaguman yang tersedia di Borneo.”
Dengan sasaran empat juta pelancong bagi tahun 2024, tambah beliau: “Kami menjemput seluruh dunia untuk melalui pengalaman serta menikmati kepelbagaian yang menanti anda di Sarawak, sebagai 'Gateway' ke suatu pengalaman dan penemuan baharu yang amat berinspirasi - alam semula jadi yang mengagumkan dan pengembaraan tanpa batas, yang menggabungkan aspek lampau serta pengalaman baharu - dengan ungkapan So Much More to Discover.”
ITB Berlin juga menyaksikan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dengan Tischler Reisen (TR), untuk terus meningkatkan kedudukan Sarawak dalam kalangan pelancong Eropah.
Kerjasama ini bertujuan mempamerkan pelbagai pakej pelancongan secara dalam dan luar talian bagi menarik pelancong terutamanya sasaran negara-negara Eropah.
Peningkatan pelancong dari Eropah yang mencapai 121 peratus pada tahun 2023 berbanding dengan tahun 2022, jelas mencerminkan daya tarikan yang semakin meningkat terhadap produk pelancongan Sarawak.
Dengan pencapaian yang kukuh sebanyak 81.5 peratus dari pencapaian tahun 2019, tahun 2023 mempamerkan pencapaian terbaik kedatangan pelancong Eropah bagi Sarawak, selepas pandemik.
Justeru, pada 2024, Sarawak amat optimis untuk melepasi tahap kedatangan pelancong Eropah tahun 2019.
Sarawak juga telah meningkatkan momentum untuk menjadi peneraju pelancongan bertanggungjawab ke arah kelestarian, dengan falsafah pelancongan yang memberi keutamaan kepada impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Menyambut ulang tahun ke-27, Rainforest World Music Festival (RWMF) yang akan datang, dari 28 hingga 30 Jun, bertemakan 'Evolution’.
Ia memberi penekanan kepada dunia muzik dinamik yang merentasi generasi dan budaya.
Malah RWMF 2024 juga menyulam aspek budaya dan alam sekitar melalui muzik.
Tahun ini, RWMF akan disemarakkan lagi dengan menggalakkan generasi milenial memainkan peranan memperkasa suara pribumi serta aspirasi pemeliharaan dan pemuliharaan hutan hujan tropika.
Melalui pendekatan memperkasa generasi muda, RWMF 2024 akan membuka ruang untuk berdialog, bertindak, serta menetapkan hala tuju ke arah kelestarian bagi memastikan keharmonian antara budaya dan alam sekitar bagi generasi akan datang.
Memandangkan strategi dan pencapaian dalam mempromosi pendekatan pelancongan bertanggungjawab dan amalan mampan bagi RWMF, STB baru-baru ini meraih pengiktirafan antarabangsa, dengan penganugerahan Best Global PR Campaign Award di World Communications Forum Award (WCFA), Davos Switzerland, dengan mempamerkan amalan lestari.
STB juga telah merangkul anugerah ‘Nation's Pride Award’ bagi 'Tourism Promotion Excellence' di BrandLaureate BestBrands Awards 2023 serta dua anugerah Emas dan Campaign of the Year Awards di Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2023.
#Sarawak #ITB Berlin 2024 #Gateway to Borneo #Sarawak More to Discover
;