Santuni ibu, asbab Azizan Osman sentiasa murah rezeki, kini genggam PhD

Gempak
Oktober 16, 2022 09:15 MYT
Azizan berkata, beliau sangat bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima. - Astro GEMPAK
MESKIPUN mempunyai jadual masa yang padat, Datuk Wira Dr Azizan Osman mencari jalan bagi menyediakan dirinya untuk sentiasa ke hadapan dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Mentor usahawan itu, mengorbankan masa dan tenaganya untuk mendapatkan ilmu, strategi dan kajian terkini agar memberikan kelebihan persaingan buat usahawan di bawah bimbingannya.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks), Radz Mohd berkata, beliau merupakan role-model kepada warga syarikat dan semua anak didik bimbingannya bila mana tidak pernah berhenti mencari ilmu-ilmu baharu walaupun sudah terbukti kepakarannya membimbing usahawan.
Katanya, Azizan bukan hanya pergi belajar malah mengolah dan lakukan tindakan bagi membuktikan keberhasilan perkara yang dipelajari.
"Bayangkan meskipun ketika musim sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, beliau sanggup meninggalkan tanah air untuk menuntut ilmu.
"Azizan bukan saja cakap malah melakukan apa yang disebut kepada ramai bangsa usahawan di luar sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi konvokesyen Asia e University (AeU) yang merupakan university swasta bertaraf global dengan Akreditasi MQA bagi ijazah doktor falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan sejak 2010 di World Trade Centre Kuala Lumpur pada Sabtu.
Untuk ijazah doktor falsafah itu, Azizan telah menyediakan tesis Effect of Business Coaching on Growth and Performance and The Moderating Role of Competitive Advantage in Small Medium Enterprises in Malaysia.
Terdahulu, beliau telah menduduki peperiksaan bagi Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan lulus pada April lalu.
Tambah Radz, selain membimbing secara dekat sekitar 300 usahawan jutawan di RichWorks, Azizan kini mempunyai tanggungjawab besar apabila dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Managepay Systems Bhd. (MPay) sebagai Pengarah Bukan Bebas.
Dalam pada itu, Azizan ketika ditemui memberitahu, beliau sangat bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima semalam.
"Matlamat saya untuk mempersiapkan diri agar dapat terus memberikan nilai dan panduan berkesan buat bangsa usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam dan luar negara.
"Pengiktirafan dan kelulusan pendidikan yang diterima bukan semata-mata untuk diri sendiri, tetapi untuk diberikan kembali kepada orang ramai terutama usahawan dan organisasi," tegasnya.
Azizan berkata, beliau bersama RichWorks juga sudah 15 tahun dalam membimbing usahawan dan ia merupakan passion dirinya untuk melihat transformasi dan metamorfosis seseorang usahawan.
#usahawan #Azizan Osman #PhD #menuntut ilmu
;