'Sanggup berpanas demi rezeki' - Wanita cantik jual pau viral rupanya penyanyi Bienda
Keluarga
Mac 5, 2022 09:30 MYT
Mac 5, 2022 09:30 MYT
TULAR satu video di laman Facebook memaparkan seorang wanita sedang menjual pau kepada seorang pelanggan lelaki di sebuah gerai di tepi jalan sehingga menarik perhatian warganet.
Video berdurasi 28 saat itu dipercayai dirakam oleh isteri kepada pelanggan lelaki tersebut yang sempat mengusik seolah-olah suaminya ‘terpikat’ dengan kecantikan penjual pau berkenaan.
Rakaman dimuat naik di akaun Facebook Sayangi PenangKu itu menerima lebih 2,200 perkongsian dan 2,400 komen netizen yang rata-rata mengakui terpegun dengan penampilan wanita berkenaan.
Rupa-rupanya wanita itu adalah penyanyi Bienda yang kini menjalankan perniagaan pau di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Penyanyi berusia 37 tahun itu memiliki akaun bisnes bagi mempromosikan jualan pau buatan miliknya.
Bagaimanapun pemilik nama Nor Razlinda Razli, 37, berkata status sebagai seorang selebriti bukanlah halangan untuk dia mencuba sesuatu yang baharu.
“Ramai yang menghubungi bertanyakan adakah sekarang saya hidup susah kerana berniaga pau di tepi jalan?
"Hidup saya masih seperti biasa lagi. Hanya mahu mencuba satu pengalaman baharu dalam berniaga.
"Sebenarnya ini adalah perniagaan milik suami dan saya seronok menolong.
"Bukan hanya untuk diri sendiri malah saya juga dapat membantu peniaga kecil lain apabila mempromosikan perniagaan mereka,” katanya kepada mStar.
Bienda dan suami mengusahakan gerai Papa Pau Bienda yang terletak bersebelahan Petronas di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, dia juga tidak sangka perniagaan yang diusahakan sejak hujung Disember 2021 semakin mendapat sambutan.
Malah ada peminat yang jauh sanggup datang untuk merasa sendiri pau jualannya.
“Tak sangka pula jualan pau ini sudah menjadi bualan ramai. Sebagai seorang selebriti ini adalah kelebihan yang boleh saya gunakan untuk tujuan promosi.
“Selain itu saya galakkan juga peminat yang berada di luar Kuala Lumpur untuk mencari rangkaian jenama pau ini di kawasan berhampiran mereka.
“Melihat susah-payah peniaga kecil lain mempromosikan produk mereka seperti ini memberi satu pengalaman baru buat saya," ujarnya.
Untuk rekod, Bienda mendirikan rumah tangga dengan Kamarul Zariman Abd Rahman pada Oktober 2009 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Lavienda Namiraz serta Laxiendra Namiraz.
Sumber: Facebook Sayangi PenangKu , Instagram Bienda , Bienda Lovers & Papapau
*Artikel asal di Keluarga
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !