Sanggup berdiri di tepi jalan demi mencari kerja
Madiha Abdullah
Julai 25, 2017 08:08 MYT
Julai 25, 2017 08:08 MYT
DEWASA ini, banyak cara boleh digunakan untuk mencari kerja.
Jika dahulu masyarakat hanya terhad kepada pengiklanan di media cetak, tetapi dengan kewujudan media sosial, ia membuka ruang lebih besar untuk menarik perhatian bakal majikan.
Namun cara yang dilakukan lelaki ini agak berbeza, apabila memilih untuk berdiri di tepi jalan dengan memegang sebuah kadbod bertulis tulisan tangan.
Mungkin sudah habis ikhtiar, cara itu digunakannya dengan harapan ada yang sudi menawarkan pekerjaan.
Dalam keterangan pada kadbod itu, lelaki berkenaan memberitahu dia memerlukan pekerjaan dalam kadar segera sebagai pemandu peribadi atau pemandu keluarga.
Dalam gambar yang tular di media sosial, lelaki berusia 45 tahun itu turut menyertakan perincian karakter dirinya seperti menepati masa, amanah dan pakar dalam seni mempertahankan diri.
Astro AWANI cuba menghubungi nombor telefon yang tertera, namun panggilan tidak berjawab.
Melalui maklumat yang diperoleh di laman sosial, lelaki itu merupakan bekas tentera dan kini bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.
Namun difahamkan, kilang berkenaan sedang dalam proses mengecilkan jumlah pekerja, memaksanya mencari pekerjaan lain.