Samsung Malaysia minta pemilik Galaxy Note 7 matikan gajet itu segera
Bernama
Oktober 12, 2016 22:03 MYT
Oktober 12, 2016 22:03 MYT
Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd meminta semua pemilik tempahan awal Galaxy Note 7 untuk mematikan gajet mereka dengan segera.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SME hari ini, pemilik Galaxy Note 7 diberi pilihan sama ada memulangkan semula atau menukarnya kepada Samsung Galaxy S7 Edge, dengan syarat mereka memulangkan Galaxy Note 7 berkeadaan baik.
"Semua pemilik tempahan awal akan dihubungi oleh Khidmat Pelanggan Samsung, operator rangkaian mobil berkaitan atau rakan kongsi yang terlibat bermula dari 13 Okt berhubung maklumat program pemulangan semula atau penukaran telefon.
Mereka boleh menghubungi talian Samsung Malaysia di 1-800-88-7799 untuk maklumat lanjut.
Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan Samsung Electronics Co (Samsung) telah menggantung penjualan fablet Galaxy Note 7 keluarannya di peringkat global pada Selasa, beberapa minggu selepas jualannya disambung semula diikuti program penukaran semula yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Samsung dalam kenyataan yang dimuat naik di laman webnya berkata ia memutuskan untuk menghentikan penjualan Galaxy Note 7 di peringkat global dan bersetuju menggantikannya selepas berbincang dengan agensi kerajaan Korea berkaitan Teknologi dan Standard serta pihak berkuasa berkaitan.
Awal minggu ini, Samsung menggantung pengeluaran Galaxy Note 7 berikutan beberapa siri laporan media bahawa alat gantinya mudah terbakar.
Syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu mengumumkan penarikan balik telefon yang penuh kontroversi itu pada awal September lalu berikutan beberapa laporan diterima berkaitan telefon bimbit itu mudah terbakar ketika sedang dicaj.
Ia mula dijual pada 19 Ogos lalu. -Bernama