Samsung henti keluaran telefon pintar Galaxy Note 7
Kohilah Sekaran
Oktober 11, 2016 20:57 MYT
Oktober 11, 2016 20:57 MYT
Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) hari ini mengumumkan penggantungan pengeluaran model Galaxy Note 7 di seluruh dunia susulan beberapa insiden melibatkan kebakaran bateri telefon pintar itu.
Keputusan ini dibuat sehari selepas syarikat itu mengumumkan penggantungan sementara pengeluaran model tersebut.
"Keselamatan para pelanggan adalah keutamaan kami, jadi, kami telah memutuskan untuk menghentikan jualan dan pengeluaran Galaxy Note 7," kata syarikat itu seperti dipetik dari portal The Wall Street Journal.
Langkah ini diambil selepas saham Samsung jatuh lapan peratus, penurunan sehari terbesar dalam lapan tahun, selain kes kebakaran Galaxy Note 7 terbaharu di Amerika Syarikat.
Pada 2 September lalu, Samsung mengumumkan pemanggilan secara global 2.5 juta telefon bimbit Galaxy Note 7 berikutan kegagalan bateri yang menyebabkan insiden kebakaran.