Sambutan Krismas tetap meriah meskipun bukan di rumah
Faida Rahim
Disember 25, 2022 15:18 MYT
Disember 25, 2022 15:18 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan Krismas tetap meriah meskipun suami berada jauh di Ottawa, Kanada pada masa ini.
Demikian kata Marylin Mazin, 37, yang mengakui kepada Astro AWANI bahawa suasana sambutan tahun ini agak berbeza dibandingkan tahun sebelum ini.
Ibu dua anak ini juga memilih meraikan sambutan Krismas bersama saudara mara dan rakan-rakan di sebuah restoran makanan barat yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
“Ini merupakan sambutan terakhir saya di sini memandangkan saya akan terbang ke Kanada tahun depan untuk tinggal bersama suami di sana.
“Tiada kata yang dapat saya ungkapkan ketika ini, apa yang saya tahu saya akan merindui suasana dan makanan enak di sini. Apa yang ‘mahal’ tentang Malaysia adalah semangat perpaduan antara kaum yang tiada berbelah bahagi. Itu yang bakal saya rindukan nanti,” katanya.
Berkongsi tentang menu istimewa, wanita berketurunan Dusun dari Sabah itu memberitahu, dia gemar menikmati mi sup kampung setiap perayaan Krismas.
“Dari kecil, ibu saya sering sediakan menu khas untuk kami adik beradik. Setiap pagi perayaan, makanan pertama yang saya cari adalah mi sup.
“Malah anak-anak saya juga sukakannya. Cuma tahun ini saya tidak sempat sediakannya. Jadi kami pilih untuk makan besar di restoran dan kemeriahannya tetap serupa. Tiada yang kurang,” kata Marylin.
Sementara itu, bagi Dr Davina Markus, 36, memilih pulang ke Kota Kinabalu, Sabah untuk merayakan Krismas bersama keluarga tersayang.
Lebih istimewa, perayaan tahun ini disifatkan berbeza kerana bakal menerima anggota baharu dalam keluarga.
“Adik bongsu saya bakal berkahwin tidak lama lagi. Jadi ini perayaan terakhir kami bersama sebelum adik berumah tangga. Sebab itu juga saya nekad untuk pulang ke kampung halaman lebih awal tahun ini.
“Bercakap mengenai menu khas di pagi Krismas pula, kami adik beradik memilih untuk membawa ibu menikmati makan tengahari di sebuah restoran di Kota Kinabalu. Bagi saya sama ada di rumah atau di restoran, suasana tetap meriah dengan kehadiran ahli keluarga yang turut serta pada hari ini,” akhirinya.