Sakit mental akibat stres PKP? Jangan pendam, luahkan kepada kawan, keluarga

Mingguan Wanita
Ogos 22, 2021 09:00 MYT
Tekanan hidup yang mencabar dan tidak tertanggung getirnya menjadikan kita stres sehingga menyebabkan tertekan, murung dan akhirnya alami tekanan mental. -Gambar hiasan
TIDAK dinafikan tempoh masa PKP yang lama banyak meninggalkan kesan negatif pada sebahagian kita.
Tekanan hidup yang mencabar dan tidak tertanggung getirnya menjadikan kita stres sehingga menyebabkan tertekan, murung dan akhirnya alami tekanan mental.
Pelbagai stigma timbul apabila kita berbicara tentang sakit mental ini. Malah apabila seseorang mengalami masalah sakit mental pula, ramai yang sering mengaitkannya dengan perspektif negatif iaitu ‘gila’.
Awas! Stress PKP, sakit mental menjadi-jadi... ini merupakan topik pilihan dalam LIVE Sembang Wanita sempena kempen Mingguan Wanita Prihatin, baru-baru ini.
Sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan sakit mental,bagaimanakah pengertiannya?Adakah mengalami pesakit mental berpeluang untuk sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain?
Untuk menjawab persoalan tersebut, Anita Abu Bakar selaku pengasas dan presiden Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA) yang turut pernah melalui situasi getir sakit mental dalam hidupnya, ada menjelaskan mengenai definisi sakit mental ini.
“Persepsi negatif penyakit mental dalam kalangan masyarakat adalah ‘gila’ dan berbahaya.
"Penyakit mental berlaku apabila ia mengganggu fungsi harian dan tidak dapat berfungsi sebagai seorang individu normal.
"Seperti tidak dapat membuat keputusan dengan baik, tidak dapat menangani stress dan sebagainya.
“Namun perkara positifnya, penyakit mental ia boleh sembuh, ada rawatan berkesan namun memerlukan pendekatan yang menyeluruh.” jelas Anita.
Tanda-tanda awal penyakit mental
Perlu tahu, individu yang mengalami penyakit mental mempunyai simptom dan tanda-tanda awal yang perlu diambil berat.
Ia pelbagai dan bergantung pada keadaan individu tersendiri. Antaranya:
1. Perubahan pola tidur (kurang tidur/terlebih tidur)
2. Kurang makan atau terlebih makan.
3. Tidak suka bersembang dengan kawan-kawan dan keluarga.
4. Suka mengasingkan diri.
5. Kerap tak sihat, seperti demam, batuk, sakit kepala.
Penting luahkan dengan orang lain
Jelas Anita lagi, sebenarnya apabila mengalami stres dan tekanan, adalah penting untuk mendapatkan bantuan dan meluahkannnya pada orang terdekat yang boleh dipercayai.
Ia dapat membantu mengurangkan tekanan sekaligus dapat memberi perspektif berbeza dalam masalah dan tekanan yang dialami.
“Apabila rutin seharian tidak dapat lakukan dengan baik, kerap rasa stres minimum 2 minggu seeloknya melakukan sesuatu dan mendapatkan pertolongan.
“Ia tak semestinya kena berjumpa dengan pakar psikitari, namun mungkin seperti meluahkan dengan individu yang boleh dipercayai seperti rakan dan keluarga juga boleh membantu bagi mengurangkan tekanan dan stres.
“Apabila berkongsi dan meluahkan dengan orang lain, mungkin kita dapat melihat kehidupan atau masalah kita dari perspektif yang berbeza.
"Malah mungkin individu tersebut dapat memberikan jalan keluar pada permasalahan kita dan solusi yang dapat dicapai bersama.” ujar Anita.
*Artikel asal di Mingguan Wanita

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#PKP #MIASA #Sakit Mental #gila #Anita Abu Bakar #Mental Illness Awareness & Support Association #persepsi negatif
;