'Sakan beraya sakan makan' undang risiko tinggi penyakit
Bernama
Mei 12, 2023 10:01 MYT
Mei 12, 2023 10:01 MYT
SELEPAS sebulan menahan lapar dan dahaga, pastinya Syawal yang tiba disambut dengan hati yang gembira, bukan sahaja dapat menjamu selera tetapi yang lebih bermakna dapat 'balik kampung' ke pangkuan ayahanda dan bonda.
Lazimnya sepanjang bulan perayaan ini juga, kebanyakan kita sibuk mengatur jadual bagi menghadiri rumah terbuka yang diadakan sanak-saudara, kenalan juga jiran-tetangga.
Sebulan berpuasa, sebulan jugalah kita beraya dan selama itulah mungkin ada yang sakan makan sehingga rutin diet sebelum ini, kata orang, 'hanyut ke laut'.
MUSIM PANAS DAN STROK HABA
Dalam sibuk teruja berhari raya, perlu diingat bulan Syawal bukan 'tiket' untuk membalas dendam menikmati apa sahaja hidangan, setelah berlapar dahaga sebulan menjalani ibadah puasa Ramadan. Bimbang nanti, habis raya, diri pula diserang ancaman pelbagai jenis penyakit.
Perlu juga peka Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut ketika tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang menyebabkan cuaca panas berpanjangan di beberapa negeri terutama di utara Semenanjung sehingga bulan Ogos depan.
Di samping itu, terdapat laporan memetik pusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea meramalkan, "El Nino kuat dijangka akan berlaku bermula Jun, sekali gus menyebabkan di Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober depan."
Cuaca panas berpanjangan itu turut dikaitkan dengan strok haba yang menuntut masyarakat lebih berhati-hati ketika berhari raya apatah lagi terdapat laporan berita berhubung kematian kanak-kanak dipercayai disebabkan strok haba.
Menurut Pakar Pemakanan Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor, berdasarkan situasi semasa hari ini, penting untuk masyarakat menjaga kesihatan masing-masing dengan tubuh badan kekal terhidrat.
"Pastikan minum banyak air sebelum dan semasa berkunjung ke rumah terbuka. Elakkan minuman berkafein kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi. Untuk pakaian pula digalakkan memakai pakaian berwarna terang dan longgar yang membolehkan kulit berasa selesa. Elakkan warna gelap kerana ia boleh menyerap haba.
"Lindungi diri daripada matahari dengan memakai topi dan menyapu krim pelindung matahari pada kulit yang terdedah untuk melindungi diri daripada kesan berbahaya matahari. Selain itu jika badan mula berasa terlalu panas, berehatlah di kawasan teduh atau ruang berhawa dingin. Elakkan berada di bawah terik cahaya matahari untuk tempoh yang lama," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ibu bapa yang membawa anak-anak menziarahi sanak saudara ke rumah terbuka ketika cuaca panas masih melanda negara, perlu mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan anak mereka.
"Sebenarnya kanak-kanak lebih terdedah kepada dehidrasi berbanding orang dewasa, jadi adalah penting untuk memastikan mereka minum banyak air sepanjang hari. Sediakan air, jus atau minuman kegemaran kepada anak dengan lebih kerap, walaupun mereka tidak berasa dahaga.
"Ibu bapa boleh memakaikan anak-anak dengan pakaian yang selesa dan ringan yang dapat membantu memastikan mereka berasa sejuk semasa cuaca panas.
"Elakkan beraya pada waktu panas puncak seeloknya pergi ketika cuaca lebih sejuk seperti awal pagi, lewat petang atau malam dan hindarkan dari berada di luar rumah pada waktu paling panas, terutama dari pukul 10 pagi hingga 4 petang," katanya.
Ibu bapa pada masa sama perlu peka terhadap tanda keletihan dan strok haba pada anak seperti sangat berpeluh, kekejangan otot dan pening.
"Jika melihat mana-mana gejala ini pada anak, dapatkan rawatan perubatan dengan segera," katanya.
Dr Norazmir turut menambah, menu terbaik bagi menjaga kesihatan diri di rumah terbuka semasa 'musim' strok haba ialah buah-buahan seperti tembikai, strawberi, anggur dan oren yang dapat mengekalkan kelembapan kerana kandungan air yang tinggi.
Selain itu sayur-sayuran seperti timun, tomato dan salad yang kaya dengan air dan boleh membantu mengekalkan kelembapan serta minuman sejuk seperti air limau, air kelapa dan teh ais dapat menyejukkan dan memastikan badan sentiasa terhidrat.
GODAAN MENU RAYA
Antara juadah popular yang dihidangkan ketika berkunjung ke rumah terbuka sudah tentunya rendang, lemang, sate dan pelbagai kuih yang membuka selera.
Namun begitu, sekiranya jumlah pengambilannya tidak dikawal, tidak mustahil seseorang itu berisiko mendapat penyakit tertentu.
Mengenai rendang yang bagi sesetengah orang adalah hidangan wajib pada musim perayaan, Dr Norazmir menjelaskan, ia tinggi lemak tepu serta kalori selain pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan individu mengalami penambahan berat badan dan masalah jantung.
"Begitu juga dengan lemang. Walaupun ia hidangan yang lazat namun tinggi kandungan karbohidrat dan kalori. Makan banyak lemang boleh menyebabkan kenaikan gula dalam darah serta berat badan naik," katanya menambah, pengambilan sate yang berlebihan dan dagingnya yang berlemak juga boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah pencernaan.
Bagi kuih-muih pencuci mulut tradisional yang kebanyakan dibuat menggunakan gula, tepung dan santan, ia mengandungi kandungan gula dan kalori yang tinggi serta pengambilan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah dan penambahan berat badan.
Selain itu, terdapat juga penyakit yang berpunca daripada makanan tercemar akibat bakteria seperti Salmonella dan E. coli yang kerap berlaku semasa musim perayaan disebabkan pencemaran semasa penyediaan dan penyimpanan makanan.
"Bukan itu saja semasa tempoh ini penyakit menerusi jangkitan pernafasan seperti selesema boleh berjangkit dengan mudah kerana tiada penjarakan sosial.
"Ketika hari raya juga ramai yang akan merentas perjalanan sehingga beberapa jam untuk pulang ke kampung halaman dan penyakit berkaitan perjalanan seperti cirit-birit dan malaria berisiko dihidapi semasa perjalanan ke kawasan atau rentas negeri yang berbeza," katanya.
Dr Norazmir turut menambah, 'sakan beraya' juga boleh mengundang penyakit berkaitan tekanan seperti sakit kepala, migrain dan masalah pencernaan boleh berlaku disebabkan tekanan dan tuntutan musim perayaan termasuk perjalanan, penganjuran acara dan menguruskan kewajipan keluarga.
Justeru katanya, penting untuk masyarakat mengambil langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan, mengekalkan diet yang sihat, menguruskan tahap tekanan untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit semasa perayaan.
SEMUA ORANG BERISIKO
Individu yang sihat turut berisiko mendapat penyakit tertentu sekiranya mereka tidak berwaspada dalam pengambilan makanan semasa hari raya.
Mengulas perkara itu, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin berkata, tabiat pemakanan semasa musim perayaan boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
"Penyakit tidak berjangkit adalah hasil daripada pendedahan berpanjangan terhadap gaya hidup yang tidak sihat termasuk cara pemakanan yang tidak seimbang. Situasi Aidilfitri yang biasanya disambut sepanjang bulan Syawal dengan pelbagai jemputan untuk majlis makan-makan boleh meninggalkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan kita.
"Contoh mudah adalah pengambilan gula tambahan. Bayangkan kita menziarahi lima buah rumah untuk berhari raya dan di setiap rumah kita akan minum minuman bergula, makan kuih raya yang pastinya tinggi kandungan gula dan pelbagai lagi juadah berbentuk manisan.
"Sedar atau tidak kita mengambil gula tambahan melebihi keperluan harian yang dibenarkan iaitu sembilan sudu kecil gula bagi seorang lelaki dewasa dan enam sudu kecil bagi seorang wanita dewasa," katanya.
Beliau berkata, NCD secara umumnya dikaitkan dengan tabiat makan individu dan akan menjadi lebih buruk pada musim perayaan hasil daripada gaya pemakanan yang tidak berhemah.
"Dua masalah yang paling terkesan semasa musim perayaan iaitu peningkatan gula dalam darah yang membawa kepada penyakit kencing manis dan peningkatan kolesterol dalam darah yang membawa kepada pelbagai masalah jantung dan darah tinggi," katanya.
Untuk itu setiap individu dinasihatkan 'memilih makanan' dengan tidak terus mengambil dengan kuantiti yang banyak di samping memberi ruang untuk diri merasa serba sedikit makanan yang ada.
"Pengambilan kita dikira berhemah apabila hidangan dalam pinggan tidak menimbun dengan satu jenis makanan sebaliknya terdapat pelbagai jenis dalam kuantiti yang kecil.
"Bagi individu yang sememangnya didiagnosis dengan penyakit kencing manis, kuatkan diri anda untuk tidak mengambil makanan atau minuman yang kita sedia maklum ditambah dengan gula tambahan," katanya.
TIP SIHAT SEPANJANG RAYA
Bagi memastikan tubuh badan kekal sihat sepanjang raya, Dr Norsham Juliana berkongsi beberapa panduan penting yang boleh diamalkan oleh masyarakat antaranya membiasakan diri untuk "katakan tidak" kepada minuman bergula sepanjang hari.
"Bagi individu yang terbiasa dengan minuman dengan gula tambahan, mulakan amalan ini dengan pengambilan secara selang sehari, seterusnya jarakkan masa untuk pangambilan minuman bergula. Selain itu amalkan minum air kosong atau air tidak bergula terlebih dahulu setiap kali sebelum makan dan berikan masa lima hingga 10 minit selepas minum sebelum mula makan," katanya.
Beliau menambah, cara untuk kekal sihat adalah dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit iaitu menghadkan satu atau dua item sahaja daripada jenis yang sama.
"Pilih untuk makan buah-buahan dahulu sekiranya dihidangkan sebelum mula makan hidangan lain. Makan dan kunyah dengan perlahan, usah gopoh menghabiskan makanan. Sekiranya kita sebagai tuan rumah untuk majlis Aidilfitri, pastikan kita menyediakan pilihan makanan sihat untuk dihidangkan kepada tetamu.
"Hidangan seperti sayuran, ulam dan buah-buahan perlu menjadi hidangan kemestian dalam majlis. Kurangkan penggunaan gula, minyak, santan serta gunakan daging dan ayam tanpa lemak dalam masakan," katanya.
Beliau menambah, dalam kesibukan beraya sepanjang Syawal, luangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal termasuk sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari.
"Ia akan memberikan impak besar dalam diri kita. Semoga kita sama-sama berusaha ke arah menjadikan budaya sambutan Aidilfitri di Malaysia suatu amalan yang turut menitikberatkan gaya hidup sihat.
"Jadikan Aidilfitri kali ini detik terindah dengan kita kekal sihat dan jangan biarkan kemeriahan Aidilfitri dijadikan alasan penyebab kepada penyakit kronik yang berpanjangan," katanya.
-- BERNAMA / BALKISH AWANG