Ryoga Red dimahkota Ayam Serama Tercantik MAHA 2016
Bernama
Disember 10, 2016 22:59 MYT
Disember 10, 2016 22:59 MYT
Ayam serama jantan, Ryoga Red terus membawa tuah kepada pemiliknya untuk kali keempat tahun ini selepas dinobatkan sebagai Ayam Serama Tercantik pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016.
Pemiliknya, Mohd Syazwan Yusof, 25, berkata Ryoga Red yang berusia lapan bulan itu merupakan baka kacukan yang dihasilkannya sendiri bersama kira-kira 20 ekor ayam serama yang lain.
"Ryoga Red telah mengalahkan kira-kira 300 ayam serama yang lain termasuk ayam milik peserta luar negara seperti Myanmar dan Vietnam pada pertandingan kali ini," katanya kepada media selepas pertandingan itu.
Hadiah pertandingan itu disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Laman Ternak, MAHA 2016, hari ini.
Jelasnya minatnya yang mendalam terhadap serama telah membawa beliau sehingga ke peringkat antarabangsa, dan telah menang dalam dua pertandingan di Indonesia, Myanmar dan Thailand pada tahun ini.
Pada pertandingan itu, Ryoga Red memberi laba kemenangan sebanyak RM600 selepas memenangi tempat pertama kategori serama muda dan johan keseluruhan Best of the Best.
Tiga ekor ayam serama miliknya yang lain masing-masing turut memenangi tempat ketiga, keempat dan hadiah sagu hati berjumlah RM600.
Beliau yang bekerja sebagai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah itu berkata minat yang sama turut dikongsi abangnya dan mendapat sokongan anggota keluarga yang lain -- Bernama
#Ayam Serama Tercantik
#Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia
#MAHA 2016
#Pameran Antarabangsa Pertanian
#Ryoga Red