RWMF 2024 pupuk kesedaran alam sekitar
Faida Rahim
Jun 30, 2024 08:45 MYT
Jun 30, 2024 08:45 MYT
KUCHING: Selain mengetengahkan adat dan budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 turut memupuk kesedaran tentang kebersihan alam sekitar yang harus bermula dengan generasi muda sehingga dewasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor berkata, pihaknya akan meneruskan usaha kempen kesedaran menjaga alam sekitar sepanjang acara berlangsung.
"Kami memastikan dengan apa yang kami panggil pahlawan kami di sini, mereka akan bergerak di kawasan sekitar dan jika mereka melihat sesuatu tidak wajar, mereka akan memberitahu, pengunjung, tolong jangan merokok di sini, jangan buang makanan di sini. Mendidik mereka. Anda lihat pada penghujung hari, mereka juga akan rasa segan.
"Mereka menjadi satu kebiasaan kerana orang lain juga lakukannya, betul. Jadi saya fikir pada penghujung hari adalah mengenai psikologi dan semua tentang membuat mereka menyedari ketika sedang seronok-seronok, kita tidak menyedari dah terbuang sampah, jadi bertanggungjawablah. Walaupun dengan penaja sekalipun, jika anda perasan, kami berkata raikan secara bertanggungjawab. Jadi itu sangat penting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Budaya Sarawak, Santubong pada Sabtu.
Dalam masa sama, STB turut menganjurkan Rainforest Youth Summit (RAYS) 2024 dari 26 hingga 28 Jun ini di Muzium Budaya Borneo dengan tema ‘Memperkasa Belia untuk Masa Depan Mampan’.
Acara ini akan membantu meletakkan Sarawak sebagai hab untuk pertukaran dan dialog mengenai perkara-perkara berkaitan hutan hujan dan kemampanan yang sejajar dengan ekosistem pelancongan Sarawak seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).
"Ini masanya untuk membawa anak muda untuk menjadi suara dalam soal kemampanan alam sekitar di Asia dan di Sarawak ini, kita menyatukan suara mereka semua," katanya.
Kelestarian alam menjadi antara agenda penting negeri Bumi Kenyalang dalam memastikan inisiatif hijau itu membawa impak positif kepada rakyatnya.
Penganjuran RWMF 2024 oleh STB pada hujung minggu ini contohnya membawa gabungan dua elemen dalam penganjurannya iaitu kelestarian dalam seni persembahan.
RWMF akan berlangsung bermula 28 hingga 30 Jun di Kampung Budaya Sarawak.