RWMF 2024: Evolusi muzik, kraf tangan, bengkel. Apa lagi yang menarik?
Jasmine Abu Bakar
Jun 28, 2024 18:35 MYT
Jun 28, 2024 18:35 MYT
SANTUBONG: Memasuki edisi ke-27, Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 yang paling dinanti-nanti oleh peminat muzik di seluruh dunia mengangkat tema 'Evolusi' tahun ini.
Selain menampilkan 63 pemuzik tempatan dari pelbagai genre, pelbagai aktiviti lain juga disediakan buat pengunjung ke Taman Budaya Sarawak, Santubong dari 28 sehingga 30 Jun 2024.
Sejak sekian lama, RWMF sudah menjadi produk pelancongan 'wajib pergi' yang terpahat dalam kalendar tahunan para pengunjung festival antarabangsa.
Bukan sahaja menyambut tetamunya dengan barisan artis persembahan pentas yang berbakat, RWMF juga menyatukan apresiasi seni muzik dunia seiring penghayatan kelestarian alam sekitar.
Selain itu, eksotika tradisional turut dibawakan dalam paparan budaya unik masyarakat tempatan dan tarikan gastronomi.
Menjadikan ia berbeza berbanding festival muzik dunia lain, RWMF yang berlangsung di dalam tapak muzium hidup yang dilatari hutan hujan tropika, bakal menghiburkan pengunjungnya sambil diiringi pelbagai tarikan nilai tambah .
Tentu sekali pihak penganjur sudah menjangkakan kedatangan yang meriah, dan berikut ini adalah antara beberapa perkara menarik yang menanti anda!
1. Kenali adat dan budaya masyarakat pelbagai kaum di rumah Bidayuh, Iban, Penan dan Ulu.
2. Reruai kraf tangan Sarawak yang boleh dibawa pulang sebagai cenderahati.
3. Mahu 'selfie' tapi gajet tiada bateri, jangan bimbang tempat untuk anda caj telefon juga disediakan.
4. Laksa Sarawak, Mi Kolok dan macam-macam lagi di reruai makan yang disediakan.
5. Inilah pentas besar kemuncak RWMF 2024.
Jangan lupa sertai pelbagai aktiviti menarik RWMF 2024 yang bermula hari ini hingga Ahad di Taman Budaya Sarawak, Santubong.