Rumah di Ampang jadi butik gitar eksklusif

Dania Zainuddin
November 13, 2017 14:01 MYT
MARC WARMAN: Saya mula mengumpul gitar sejak berumur enam tahun. -Foto Astro AWANI
Siapa sangka, di kawasan perumahan Ampang Jaya, terdapat sebuah rumah yang dijadikan butik bagi menempatkan pelbagai gitar eksklusif.
"The Guitar Lair" bukan butik sebarangan kerana ia menampilkan pelbagai gitar berjenama dari seluruh dunia.
Pemiliknya Marc Warman merupakan seorang pengumpul gitar dan kini memiliki lebih 500 gitar di dua bilik pameran, iaitu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
"Saya mula mengumpul gitar sejak berumur enam tahun. Ketika itu saya sedang belajar bermain gitar dan selepas itu saya terus beli dan jual gitar sehingga hari ini.
"Sebelum ini, saya bekerja dalam industri minyak dan gas, dan saya berpeluang untuk melawat ke banyak negara di seluruh dunia.
"Setiap negara yang saya lawati, saya akan pergi ke kedai gitar atau berjumpa dengan pembuat gitar di negara itu," kata Warman ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Setakat ini, Warman sudah bekerjasama dengan lebih 30 jenama yang membekalkan gitar berkualiti tinggi bagi memenuhi kehendak peminat.
"Kami ada koleksi gitar akustik dan gitar elektrik dari Ireland, Amerika Syarikat, dan kebanyakannya dari Kanada.
"Koleksi kami juga mungkin sukar didapati di tempat lain kerana jenamanya yang mungkin tidak begitu terkenal kerana dihasilkan pembuat gitar peribadi.
"Di sini kami mahu peminat gitar mengenali jenama yang mungkin tidak begitu terkenal ini tetapi tetap menyajikan gitar yang berkualiti tinggi," katanya.
Selain mempamerkan koleksi gitar berjenama, Warman turut mengeluarkan jenamanya yang tersendiri.
"Saya mula membuat gitar sendiri bermula pada tahun 1980an dan sejak itu saya sentiasa merujuk kepada pakar pembuat gitar tentang teknik terbaik membuat gitar.
"Akhirnya, beberapa tahun lepas, selepas mengumpulkan pengalaman, saya bangunkan jenama gitar saya sendiri, Lindsay Marcus Guitars.
"Setakat ini, ada lebih 20 gitaris terkenal dari Malaysia, Amerika Utara dan Eropah menggunakan jenama saya.
"Ini satu kejayaan buat saya," katanya.
Bagi Warman, dalam menentukan kualiti sesebuah gitar bergantung kepada banyak faktor termasuk pemilihan alat penala, papan fret, jenis kayu dan juga kos setiap komponen yang digunakan.
"Bagi saya, tiada gitar yang buruk. Sebagai pemuzik, kami perlu menghormati setiap alat muzik.
"Tetapi, mungkin ada gitar yang nilainya lebih rendah daripada yang lain, bergantung kepada komponen yang digunakan.
"Jadi saya mengalakkan orang yang mahu membeli gitar untuk sentiasa bertanya dan dapatkan gitar yang berkualiti supaya alat itu boleh tahan lama," katanya.
The Guitar Lair dibangunkan di rumah Warman sendiri demi kemudahan dan keselesaan pengunjung.
Jelas Warman, langkah ini sekali gus dapat menjimatkan kos selain memastikan harga gitar berada pada tahap mampu beli.
"Mereka yang datang sememangnya berpuas hati kerana di sini mereka mendapat perhatian penuh daripada saya tanpa pengaruh pelanggan lain.
"Mereka boleh membuat keputusan tanpa terburu-buru dan kami juga menyediakan minuman kepada mereka," katanya.
Peminat gitar yang berminat boleh mengunjungi butik gitar ini di Jalan 4K Taman TAR, Ampang Jaya atau ke laman web rasmi di www.theguitarlair.com.
#alat muzik #Ampang #Ampang Jaya #butik #gitar #gitaris #guitar #Marc Warman #pemuzik #The Guitar Lair
;