Rozita Rohaizad tekad terus bantu martabat warisan Malaysia di Australia

Bernama
Ogos 2, 2024 07:45 MYT
Rozita akan terbang ke Australia pada 14 Ogos ini bagi membantu pelajar Malaysia di The Royal Melbourne Institute of Technology untuk menjayakan persembahan kebudayaan, Festival at Boyd, Southbank yang berlangsung pada 18 Ogos. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon veteran Rozita Rohaizad sudah banyak kali berkongsi kisahnya yang terpaksa menggunakan wang sendiri hanya semata-mata kerana perjuangannya memartabatkan seni budaya negara ini di persada antarabangsa.
Biarpun kini usahanya itu sudah mencecah lebih lapan tahun, namun anak kepada seniwati Allahyarhamah Mariani ini sedikit pun tidak kisah untuk menggunakan duitnya sendiri berulang-alik ke Australia untuk menjadi tenaga pengajar, setiap kali berlangsungnya pelbagai festival kesenian kebudayaan di negara itu.
Tidak terbatas kepada tarian asli Melayu, ilmu yang dicurahkan oleh pelantun lagu Gugurnya Mawar Desa ini kepada pelajar Malaysia yang menuntut di sana juga meliputi pelbagai kesenian warisan termasuklah nyanyian lagu tradisional serta lakonan kebudayaan.
Mengakui ada ketikanya dia berasa lelah memandangkan usianya yang kini sudah menjangkaui 67 tahun, namun segala keletihan itu hilang apabila melihat anak didiknya tampil segak dan jelita berbusana warisan tatkala menjayakan persembahan kesenian di negara orang mewakili Malaysia.
Rozita yang pernah beraksi dalam filem Sumpahan Puaka ini akan sekali lagi terbang ke Australia pada 14 Ogos ini bagi membantu pelajar Malaysia di The Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) untuk menjayakan persembahan kebudayaan, Festival at Boyd, Southbank yang berlangsung pada 18 Ogos depan.
"Lebih 13 kali saya ke Australia bagi membantu komuniti Malaysia memperhebatkan persembahan budaya di pentas besar di sana. Pernah sekali, saya terkejut tengok wakil negara kita membuat persembahan taekwondo sebagai persembahan budaya sedangkan itu bukan warisan kita.
"Kebetulan kontinjen dari China buat persembahan serupa. Jadi, saya terus berazam membantu penuntut di sana (Australia) memperhalusi seni budaya kita, mengajar tarian dan nyanyian tradisional Melayu tanpa mengira kaum untuk diangkat setiap kali program pertukaran budaya di Australia," katanya.
Sepertimana sebelumnya, Rozita mengakui misinya kali ini sebagai tenaga pengajar di sana untuk festival tersebut masih tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak, namun dia nekad dan teguh dengan misinya itu, demi rasa cintanya yang sangat mendalam terhadap seni warisan budaya negara.
Apatah lagi, apabila sudah menganggap penuntut di sana sebagai anaknya sendiri dan mereka pula tidak mempunyai sebarang asas dalam kesenian dan kebudayaan kerana bukan dari jurusan seni atau muzik.
"(Memang tidak dapat dana tetapi) saya tidak sanggup menarik balik perjanjian yang dibuat untuk mengajar anak-anak di sana kerana mereka langsung tidak didedahkan dengan ilmu tarian, nyanyian. Jadi, mereka akan sedikit hilang arah tuju apabila membuat persembahan budaya tanpa ada yang mahir membantu," katanya.
Dalam pada itu, Rozita berkata, dia akan mengadakan mini showcase di kafe Liberal Latte di sini yang berlangsung pada 3 Ogos ini pukul 8:30 malam.
"Saya akan menyanyikan sebanyak 20 buah lagu yang majoritinya disampaikan secara medley dalam dua set persembahan selama satu jam setengah. Antaranya, lagu-lagu 70-an, lagu filem dan lagu dari album kedua saya pada 90-an selain penghargaan buat Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma," katanya menambah, tempahan boleh dibuat di Liberallatte.my.
-- BERNAMA
#Australia #Rozita Rohaizad #penyanyi #warisan negara
;