Menu yang diberi nama Roti Ayang ini dijual dengan harga RM5 di Ayang Cafe yang terletak berhadapan Masjid Diraja Long Yunus, Langgar.
Biarpun baru empat bulan beroperasi, kafe berkonsepkan kopitiam ini mudah dikenali pelanggan kerana keenakan Roti Ayang yang menjadi trend terkini penduduk di negeri ini.
Kafe yang diusahakan Nor Hazelizan Mamat itu menarik pandangan mata kerana penggunaan warna tema merah jambu dan berada redup di bawah pohon yang besar selain memulakan operasinya dalam suasana dingin seawal jam 6 pagi.
Nor Hazelizan berkata segala pengalaman selama lebih 10 tahun bekerja di sebuah kopitiam terkenal satu ketika dulu dicurahkan sepenuhnya kepada kafe itu dan kini Roti Ayang mendapat tempat di hati pelanggannya serta menjadi kegemaran setiap yang datang bersarapan di kafe berkenaan.
Menceritakan keenakan Roti Ayang, Nor Hazelizan berkata, dia memilih roti yang paling lembut dihasilkan di sebuah kilang di daerah ini selain turut menggunakan kaya yang berkualiti tinggi serta telur gred terbaik.
“Dalam proses menghasilkan Roti Ayang, paling penting cara pengawalan api yang baik ketika membakar roti berkenaan bagi mengekalkan tekstur supaya tetap lembut walaupun berada dalam keadaan suhu normal.
“Kaya yang diletakkan di atas roti pula disapu dalam kuantiti yang sepatutnya, tidak terlebih dan tidak pula terkurang selain memastikan telur separuh masak, dimasak sempurna.,” katanya.
Bagi pemilihan nama Roti Ayang itu pula, Nor Hazelizan menjelaskan panggilan itu diberi oleh Imam I masjid berkenaan, Khairul Azizi Mokhtar dengan Ayang itu bermaksud sayang bersesuaian dengan Nor Hazelizan sendiri yang gemar membahasakan pelanggan dan kenalan dengan panggilan itu.
“Selain “Roti Sayang” ini, kafe ini juga menyediakan roti kukus cicah susu dan Roti Thick Toast iaitu roti bakar mentega kacang yang disapu dengan susu pekat manis. Bagi yang mahukan sarapan berbeza boleh menikmati nasi tumpang; nasi himpit; nasi Air Dingin atau nasi bungkus pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan mengikut selera Kelantan.
“Minuman istimewa di kafe ini pula sudah tentunya kopi “kaw” dan terdapat juga teh tarik madu atau boleh cuba minuman bali madu lemon atau madu lemon bagi menyegarkan tubuh sebelum memulakan hari masing-masing,” katanya.