Rosyam Nor lengkapkan misi berjalan kaki demi 'Walk for World Quran Hour'
Israr Khalid
September 8, 2016 20:48 MYT
September 8, 2016 20:48 MYT
Misi pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer bagi mempromosikan 'World Quran Hour' selesai dengan tibanya rombongan beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) petang tadi.
Perjalanan mengambil masa kira-kira sepuluh jam untuk tiba ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM sekitar pukul 4.30 petang.
Rosyam, yang juga ikon Rumah Ngaji bersyukur misi berjalan lancar dengan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, dibantu cuaca yang agak menyenangkan sepanjang perjalanan.
Menceritakan pengalaman sepanjang perjalanannya, Rosyam berkata ramai yang menegur, membunyikan hon dan mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.
Bukan misi berjalan kaki yang ditekankan, tetapi lebih kepada memberi kesedaran dan mengajak masyarakat Malaysia juga dunia terutamanya umat Islam supaya dapat turut serta dalam program meraikan Al-Quran itu.
"Saya harap misi kecil ini dapat memberi impak yang besar.
"World Quran Hour akan menjadi titik permulaan untuk manusia menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup," katanya selepas tiba di UIAM.
Jelas Rosyam, program yang akan disambut seluruh dunia itu juga medan terbaik untuk umat Islam yang sekian lama tidak membaca dan merujuk al-Quran untuk kembali ke kitab suci itu.
Sekurang-kurangnya satu jam komitmen diberikan untuk menyentuh, membelek, membaca, memahami, menyelami maksudnya atau apa sahaja cara untuk bersama al-Quran.
"Jadi 11 haribulan ini, tidak pandai mengaji pun tak mengapa, baca terjemahannya. Tidak boleh baca terjemahan, baca surah Al-Fatihah. Tidak boleh baca Al-Fatihah, pandang Quran. Tidak boleh pandang al-Quran, kita bincang pasal al-Quran. Itu sahaja," jelasnya.
Pada masa sama, Rosyam turut berbesar hati sekiranya inisiatifnya ini dapat diteruskan pada tahun seterusnya dengan skala lebih besar.
Misi 'Walk for World Quran Hour' adalah cetusan idea Rosyam sendiri, bermula dari Masjid Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam pada pukul 6.30 pagi dengan Rosyam membawa senaskah al-Quran bersama.
Rombongan kemudian berhenti rehat di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail untuk solat Zohor dan makan tengahari.
Perjalanan yang sepatutnya diteruskan pada jam 1.30 petang sedikit tergendala kerana hujan lebat, dan rombongan kembali berjalan sejam kemudian.
Setibanya di Rektori UIAM, Rosyam dan rombongan disambut warga universiti termasuk petugas program dan kumpulan pelajar sebelum meyerahkan al-Quran kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Profesor Datuk Dr Mizan Hitam.
Acara sambutan World Quran Hour peringkat Malaysia akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM mulai pukul 9 pagi Ahad ini.