Romantis percutian, pengalaman tidak ternilai di The Ritz-Carlton Langkawi
Abd Hadi Che Awang
April 18, 2022 13:19 MYT
April 18, 2022 13:19 MYT
PEMBUKAAN semula sempadan negara 1 April lalu sudah pastinya menjadi indikator penting khususnya dalam merancakkan industri pelancongan negara yang terjejas teruk sebelum ini.
Di Langkawi, pengurusan hotel dan resort sudah pastinya mengambil peluang ini dalam memastikan mereka menjadi pilihan utama sebagai lokasi penginapan pelancong yang datang ke pulau peranginan itu.
Sehubungan itu, Pengurus Besar The Ritz-Carlton Langkawi (TRCL), Ellen Franke menyifatkan, dalam memberikan pengalaman bermakna kepada individu yang menginap di situ, hotel berkenaan menawarkan servis terbaik selain pelbagai aktiviti yang akan memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada tetamunya.
"Kami menyediakan pelbagai aktiviti yang melibatkan tetamu hotel yang akan memberikan pengalaman buat setiap individu yang hadir terutama bagi yang berkeluarga. Kami mempunyai Beach Grill yang merupakan lokasi terbaik meluangkan masa bersama, Ritz Kids yang mana memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meluangkan masa selain dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Pusat Eco-Discovery. Bagi yang mahu merasai suasana tenang dan sedikit privasi, The Horizon adalah lokasinya.
"Di The Ritz-Carlton Langkawi, banyak aktiviti boleh dilakukan untuk memenuhi kehendak tetamu yang menginap, terutamanya dapat menikmati pemandangan yang sangat indah. Kami dengan terujanya menunggu kehadiran anda ke Langkawi dan ke sini," ujarnya.
Keinginan penginapan gaya mewah dapat dinikmati dengan pelbagai pilihan bilik dan juga vila. Sama ada mencintai pemandangan pantai dan laut, mahu dikelilingi suasana hutan hujan tropika mahupun sekadar mahu ruang yang privasi, semua itu disediakan untuk tetamu.
Selain pilihan Deluxe Room dan Junior Suite, tetamu Ritz-Carlton Langkawi juga boleh mempertimbangkan untuk menginap di ruang inap yang lebih luas seperti Rainforest Villa, Beach Villa dan Ocean Front Villa. Setiap satunya menjanjikan keselesaan, tarikan dekorasi kontemporari dengan elemen tempatan dan persekitaran yang dekat dengan ketenangan alam semula jadi.
Tambah Franke, TRCL juga turut menawarkan dua aktiviti baharu kepada tetamu di hotel berkenaan yang mana berkait rapat dengan alam sekitar iaitu Nature Walk dan Eco-World Discovery.
"Kami ada dua laluan kembara alam. Pertama adalah aktiviti yang memerlukan anda berjalan menikmati keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan hotel selama 45 minit bermula jam 8 pagi.
"Keduanya adalah Ritz Venture yang mengajak anda meneroka kawasan kami yang seluas 40 hektar. Laluan trekingnya sedikit mencabar, ada turun dan naik, sambil menghayati pemandangan hebat. Anda juga akan menemui hamparan pantai persendirian. Kemudian, pengunjung boleh memilih untuk kembali dengan menuruni bukit atau pulang dengan berkayak.
Ahli Biologi Marin The Ritz-Carlton Langkawi, Muhammad Fadzli Luqman memaklumkan, hotel berkenaan turut menawarkan Eco-World Discovery yang akan memberikan pengalaman pelancongan berasaskan pendidikan berkaitan pemuliharaan alam sekitar kepada golongan kanak-kanak dan dewasa.
Beberapa aktiviti disediakan seperti 'Eco Ranger' serta program 'Tree Adoption' selain tapak semaian timun laut yang merupakan projek rintis The Ritz-Carlton Langkawi dalam usaha memulihara timun laut serta gamat.
Muhammad Fazli juga bermaklumat dalam memberi menjelaskan kepada tetamu hotel tentang usaha membiakkan timun laut itu menerusi teknik belahan, selain menerangkan mengenai sifat serta keunikan organisma tersebut.
Selain sesi khas akademik itu, pengunjung ke The Ritz-Carlton Langkawi turut dimanjakan dengan pengalaman gastronomi menarik yang ditawarkan di empat buah restoran di hotel berkenaan.
Chef Eksekutif The Ritz-Carlton Langkawi, Mattia Salussoglia menjelaskan bahawa setiap satu restoran mempunyai keunikan masing-masing, termasuklah mereka seleksi menu tersendiri untuk disesuaikan dengan selera pelanggan.
"Langkawi Kitchen pada waktu malam amat terkenal dengan masakan tradisional Melayu. Ia menyajikan hidangan autentik seperti asam pedas, rendang serta ayam percik. Di Beach Grill, kami menawarkan makanan laut yang segar, iaitu tetamu boleh memilih sendiri dan mendapatkan saranan chef berkaitan cara masakan terbaik untuk pilihan itu.
"Di Horizon, pengunjung dapat menikmati suasana tenang dan privasi selain menu yang disediakan berasakan masakan Asia dan Asia Tenggara, manakala yang terakhir adalah Hai Yan, yang diinspirasikan dari masakan moden Cina, termasuk hidangan yang diilhamkan dari resipi Cina serantau," jelas Salussoglia.
Tambahnya, pembukaan semula restoran Hai Yan selepas ditutup hampir dua tahun akibat penularan COVID-19, menjadikannya satu-satunya restoran makanan Cina yang beroperasi di Pulau Langkawi.