RM9,600, Hamizah pemilik tudung termahal di Batu Pahat!
Gempak
Februari 16, 2020 17:44 MYT
Februari 16, 2020 17:44 MYT
HARUS diakui, sifat semulajadi wanita memang sukakan sesuatu yang cantik dan kelihatan menarik.
Begitu juga tudung, selain fungsi utamanya untuk menjaga aurat, perihal tudung juga menjadi satu momento hingga ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit demi mendapatkan item yang dikehendaki.
Bagi Hamizah, memiliki dan menjual tudung jenis bawal yang termahal di daerah Batu Pahat dan Johor Bahru, Johor, adalah satu apresiasi baginya.
"Wanita suka benda cantik dan menarik, sama juga seperti aksesori. Jadi, memang ada yang sanggup berbelanja untuk tudung yang mahal.
"Membazir? Sebab bila minat sesuatu benda tu dan selesa dipakai, apa salahnya jika berkemampuan dan betul-betul minat kenapa tak pakai yang mahal ikut kehendak dan citarasa masing-masing," katanya kepada Gempak.
Hamizah atau nama sebenarnya Daeng Hamizah Abd Aziz, 33, yang memiliki dua buah butik Dhamizah by Bawal Exclusive di Johor itu menjual tudung serendah RM65 hingga RM9,600 sehelai.
Akui aspek keselamatan menjadi prioriti dalam perniagaannya, Hamizah yakin produk jualannya sentiasa dikawal rapi.
"Insya-Allah di butik ada penggera keselamatan dan kamera litar tertutup yang sentiasa memantau pergerakan keluar masuk.
"Malah, tudung yang mahal dan eksklusif dipamerkan di ruangan yang khusus dan terjamin selamat," katanya.
Jelas pemilik Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari The Robert Gordon University, Aberdeen, Scotland itu akui nilai tudung sama seperti emas.
"Tudung ni, lagi lama lagi mahal tambah-tambah koleksi eksklusif yang tak dikeluarkan lagi.
"Ia akan menjadi vintage collection. Oleh itu juga, ada yang sanggup bayar mahal untuk rangkaian tudung eksklusif.
"Selain itu, ada juga wanita yang mula berjinak pakai tudung akan mendapatkan tudung preloved, yang semestinya ada keistimewaan tersendiri," ujarnya.
Hamizah mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan hijab sejak enam tahun lalu meskipun mempunyai kerjaya tetap di sebagai pemaju hartanah di Johor.
Butik Dhamizah by Bawal Exclusive menjadi antara Premium Reseller Bawal Exclusive yang mencapai jualan jutaan ringgit setahun.
Hamizah juga pernah disenaraikan sebagai salah seorang personaliti 40 Under 40 pada tahun 2017 oleh majalah Prestige Malaysia.
Foto: Mohd Fauzi Ahamad (@fauziepop)