RM1 juta atau barang antik? Zainal Amri pilih nilai sentimental

Bernama
Januari 7, 2024 12:28 MYT
Zainal Amri Ramli memiliki lebih 10,000 koleksi barang antik yang dikumpulnya sejak 35 tahun lepas. - Gambar Bernama
KUALA KANGSAR: Pernah ditawarkan jutaan ringgit supaya melepaskan lebih 10,000 koleksi barang antik yang dikumpulnya sejak 35 tahun lepas, namun, Zainal Amri Ramli tidak pernah "tergoda" dengan tawaran itu kerana kepuasan mengumpul barangan berkenaan mengatasi segalanya.
Malah, jurudawai elektrik berusia 62 tahun yang mesra disapa Zai Am itu sanggup menyediakan ruang khas di kediamannya bagi menyimpan semua barang antik yang berjaya dimilikinya.
Koleksi barang antiknya merangkumi pelbagai jenis daripada jam dinding, senjata perang Melayu lama, tembikar, perkakas makanan dan minuman, alat ganti kereta api, gitar sehinggalah kenderaan termasuk basikal, motosikal dan kereta.
"Ada antara barang itu saya masih sayang iaitu gitar zaman 50-an hingga 90-an seperti Ibanez, Elk, Fender, Kramer, Hofner dan sebagainya. Belum lagi cerita bab kereta lama seperti Austin Baby 850, Morris Minor, Wolseley Hornet dan Sunbeam Rapier. Barangan ini semua punya kenangan tersendiri yang tak mampu dibeli dengan wang ringgit.
"Apa yang saya nampak, barang antik ini mempunyai nilai sentimental tersendiri bersifat subjektif yang sukar kita tafsirkan kerana lain orang, lain pula pandangan atau pendapat," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kota Lama Kiri, di sini, baru-baru ini.
Namun, Zainal Amri menjelaskan, dia tidak menolak untuk menjual jika ada individu yang benar-bnar mahu memiliki koleksinya bergantung kepada mutu barangan, usia, permintaan semasa dan pasaran.
Katanya, barang paling mahal yang pernah dijual ialah sebuah motosikal Lambretta kira-kira awal 2000 dengan harga RM10,000 kepada seorang peminat tegar kenderaan itu.
Bercerita tentang kehidupan bergelumang dengan hobi berkenaan, Zainal Amri yang merupakan anak jati Kota Lama Kiri berkata, ratusan ribu ringgit telah dibelanjakan sepanjang mengumpul dan memiliki pelbagai jenis barangan antik berkenaan.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia tidak pernah berasa rugi, malah berbangga memiliki barang vintaj berusia puluhan sehingga ratusan tahun yang sememangnya sukar didapati pada era ini.
"Ada juga dalam kalangan kenalan menyindir dan menganggap apa yang saya buat ini benda yang sia-sia serta menghabiskan duit tanpa arah tuju. Saya cuma pekakkan telinga dan anggap minat manusia itu tak boleh dipaksa dan berbeza-beza.
"Apa pun saya bersyukur kerana dengan hobi ini ia bukan hanya menjana pendapatan sampingan, malah wang hasil jualan (barangan antik) itu sedikit sebanyak turut menyumbang dalam pembinaan kediaman saya ini," katanya.
Ditanya tentang kaedah diguna pakai dalam pencarian barangan antik, Zainal Amri berkata, kebanyakannya diperoleh daripada maklumat rakan-rakan serta kenalan dalam kalangan pengumpul khazanah itu.
"Kerjaya sebagai jurudawai elektrik ini juga banyak membantu dalam pencarian barang lama ini. Kadang-kadang apabila datang ke rumah orang untuk baiki kerosakan (elektrik), tak semena-mena jumpa barang lama dalam simpanan mereka.
"Ada antaranya yang dibeli dan ada juga dapat percuma sahaja daripada tuan rumah. Antara yang selalu saya dapat ialah jam dinding, kerusi, meja dan sebagainya," katanya.
Selain itu, Zainal Amri berkata, memiliki serta menyimpan barang antik terutamanya senjata dan perkakas lama merupakan satu cabaran kerana ada yang mempunyai "pendamping" atau unsur mistik.
"Bagi saya, ini bukan cerita karut ... ada benarnya. Nak memilikinya (senjata lama) boleh, cuma kena tahu bagaimana untuk 'menyantuninya'. Tak boleh simpan sembarangan, takut nanti perkara lain yang jadi," katanya.
Mengulas penerimaan ahli keluarga, dia bersyukur isteri serta tujuh anaknya sentiasa memahami dan memberi sokongan terhadap minatnya itu.
"Anak-anak juga menunjukkan minat sama. Saya juga minta mereka untuk jaga semua ini dengan baik kerana barangan ini ialah khazanah yang cukup bernilai dan sukar dicari ganti," katanya. - BERNAMA
#barangan antik #koleksi barang antik #Zainal Amri Ramli #motosikal Lambretta
;