'Rizz' dinobat sebagai perkataan paling popular 2023 oleh Oxford

Fahmi Izuddin
Disember 5, 2023 04:00 MYT
Pilihan tahun ini mencerminkan cara media sosial telah meningkatkan kadar perubahan bahasa secara eksponen.
KUALA LUMPUR: Perkataan 'Rizz' yang membawa maksud karisma secara rasminya dinobatkan sebagai perkataan paling popular dan tular sepanjang 2023 oleh Oxford University Press.
Ia turut didaftarkan sebagai sebahagian daripada perkataan yang terkandung dalam kamus Oxford.
'Rizz' yang popular dalam kalangan Generasi Z, turut bersaing dan menewaskan dengan beberapa perkataan dan slanga lain termasuk Swifties (Kelab peminat Taylor Swift), Situationship, Prompt, dan De-influencing.
Berikut merupakan asal-usul kemunculan Istilah 'Rizz':
1. Mula popular di media sosial pada tahun 2022 oleh penstriman YouTube dan Twitch Kai Cenat , yang menyiarkan video "tips rizz" dalam talian.
2. Menjadi tular pada jun 2023, apabila pelakon, Tom Holland menggunapakai perkataan itu dalam satu temu bual.
3. 'Rizz' mula dipopularkan menjadi meme atau satira jenaka di media sosial terutama dalam kalangan Generasi Z
4. Membawa maksud gaya, dan daya tarikan atau keupayaan untuk menarik pasangan individu secara romantik
5. Turut digunakan sebagai kata kerja, misalnya 'Rizz It up' yang bermaksud memikat hati mana-mana individu.
Menurut Presiden Bahasa Oxford, Bahagian Perkamusan, Casper Grathwohl pilihan tahun ini mencerminkan cara media sosial telah meningkatkan kadar perubahan bahasa secara eksponen.
"Salah satu sebab ia beralih daripada menjadi frasa media sosial khusus ke arus perdana ialah, ia cukup menyeronokkan untuk disebut dan apabila ia keluar dari lidah anda, ada sedikit kegembiraan yang datang bersamanya." ujarnya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada New York Times.
Kebiasaannya, ahli perkamusan Oxford mengumpulkan senarai pendek perkataan atau ungkapan yang menyaksikan lonjakan penggunaan secara statistik, dan kemudian memilih pemenang.
Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Oxford telah mengubah proses pemilihan menjadi versi leksikografi dengan kaedah baharu berdasarkan perkamusan melalui trend media sosial.
Word of the Year Oxford adalah berdasarkan bukti penggunaan yang diperoleh dan sentiasa dikemas kini dengan lebih daripada 22 bilion perkataan.
Ia dikumpulkan daripada sumber berita di seluruh dunia berbahasa Inggeris.
Pemilihan itu, menurut Oxford, bermaksud untuk mencerminkan pembudayaan, perasaan atau keasyikan. Ia juga ditakrifkan sebagai perkataan atau slanga yang mempunyai potensi sebagai istilah kepentingan budaya yang berkekalan.
#Rizz #Oxford #kamus #Perkataan Paling Popular