Rizman Ruzaini bakal buat kemunculan sulung di Dubai Fashion Week

Asyraf Roslan
Ogos 24, 2023 12:45 MYT
Rizman Ruzaini bakal mempersembahkan tidak kurang 60 helaian untuk penutup DFW anjuran Arab Fashion Council - Foto Rizman Ruzaini
KUALA LUMPUR: Seperti bulan jatuh ke riba.
Itulah respon pereka fesyen duo, Rizman Ruzaini apabila mengetahui bahawa mereka dijemput untuk mempersembahankan koleksi pakaian mereka di Minggu Fesyen Dubai (DFW) pada Oktober 2023 nanti.
Selepas melalui proses seleksi yang sangat ketat, Rizman Ruzaini akui bersyukur apabila jenama mereka yang berusia 18 tahun itu bukan sahaja dipilih malah mereka juga diberi peluang untuk membuat majlis penutup semasa pertunjukan fesyen itu nanti.
Menurut Rizman Nordin, sentiasa menjadi impian beliau dan Ruzaini untuk masuk ke pasaran antarabangsa sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.
"Sentiasa menjadi impian kami untuk masuk market middle east membawa nama Malaysia ke persada dunia dan alhamdulillah kami diberi penghormatan besar untuk penutup Dubai Fashion Week,
"Masih terasa bagai di awang-awagan tapi kami akan berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia." katanya ketika ditemui media selepas pertunjukan fesyen untuk Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) yang diadakan di ibu kota.
Pada masa sama, selaku krew kreatif untuk koleksi di DFW 2023, Wan Mohd Ruzaini menyatakan bahawa segala persiapan sudah pun dirancang sebaiknya dan akan dimulakan tidak lama lagi.
“Saya selaku krew kreatif, kita dah ada story board, dah ada sample dan sebagainya cuma nak jalankan sahaja dan of course kita ada group kita sendiri yang akan menghasilkan daripada artisan dan juga daripada group Rizman Ruzaini sendiri, Yana Baharudin akan tolong kita juga, sebab ini satu platform yang besar untuk jenama kami untuk bawa nama negara.” ujarnya.
Rizman Ruzaini bakal mempersembahkan tidak kurang 60 helaian untuk penutup DFW anjuran Arab Fashion Council dan berkongsi pentas bersama jenama gergasi fesyen dunia, Carolina Herrera dan Michael Cinco.
Dubai Fashion Week akan berlansung pada 10 Oktober sehingga 15 Oktober 2023.
#Rizman Ruzaini #Kuala Lumpur Fashion Week #KLFW 2023 #kemunculan sulung
;