Risiko pencerobohan data aplikasi Pokemon Go

Maisarah Atan
Julai 14, 2016 08:50 MYT
Kegilaan terhadap aplikasi permainan Pokemon Go turut disertai dengan isu keselamatan data. - Gambar hiasan
ISU pencerobohan keselamatan data peribadi oleh Pokemon Go, yang ditimbulkan arkitek utama firma keselamatan Red Owl, Adam Reeve mencetuskan kebimbangan pengguna.
Ia sekali gus menyaksikan sebahagian besar daripada mereka bertindak membuang aplikasi tersebut.
Pada dasarnya, pengguna aplikasi Pokemon Go membenarkan akses penuh kepada akaun Google mereka, termasuk aplikasi Gmail, Drive dan sebagainya ketika mendaftar untuk bermain permainan tersebut.
Secara teorinya, apabila akses sedemikian diberikan kepada sesuatu pembekal perkhidmatan, segala data aktiviti akaun Google yang dihubungkan juga dikongsi secara tidak langsung.
Walaupun ramai yang mengecam tindakan Niantic selaku pengasas aplikasi permainan tersebut, pakar teknologi dan gaya hidup Jonathan Roubini berpendapat, seberapa banyak maklumat yang dikongsi serta sejauh mana tahap perkongsian tersebut adalah tanggungjawab pengguna.
"Isu ini sangat penting. Semua orang perlu sedar.
"Dengan penggunaan Cloud, baik Google atau platform lain, semua maklumat berisiko terdedah, jika anda memberikan akses kepada maklumat berkenaan, sama ada untuk memasang aplikasi atau mengakses suatu halaman Facebook.
"Anda perlu berhati-hati dengan akses yang anda berikan," ujarnya.
Roubini turut berkongsi, penyelesaian segera yang paling mudah adalah dengan membuka akaun berasingan untuk aplikasi serta aktiviti santai seperti permainan atas talian, sementara akaun utama cuma digunakan untuk urusan rasmi dan peribadi sahaja bagi melindungi privasi.
Kebimbangan pengguna bagaimanapun segera diredakan dengan kemas kini oleh Niantic melalui laman blognya.
Syarikat tersebut menyatakan, pihaknya tidak pernah berniat untuk mengumpul maklumat pengguna selain daripada ID pengguna dan alamat email mereka.
Malah Niantic sedang bekerjasama dengan Google untuk meminda kebenaran akses tersebut.
Kemas kini terbaru aplikasi tersebut kini boleh didapati di Apple App Store.
#aplikasi #data peribadi #Google #pembekal perkhidmatan #Pokemon GO
;