Risiko kesihatan mata tatap gajet secara baring mengiring
Bernama
November 2, 2024 11:20 MYT
November 2, 2024 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang menganggap baring mengiring ketika menggunakan peranti pintar termasuk telefon bimbit terutamanya sebelum tidur posisi paling selesa, namun tabiat itu memudaratkan.
Ia boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan mata termasuk 'juling air' yang juga disebut 'juling itik', lebih-lebih lagi apabila melihatnya secara dekat.
Pakar Optometri Klinikal, Muhammad Adam Zakaria, 31, berkata, posisi baring secara mengiring ketika melihat gajet menjadikan penglihatan tidak seimbang yang kemudiannya memberi tekanan kepada hanya sebelah mata sahaja.
"Bila kita guna telefon dalam keadaan baring, mata kita akan fokus kepada skrin pada jarak dekat dan tempoh lama itu menyebabkan ketegangan mata atau digital eyestrain. Secara tak langsung, mata boleh kering, penglihatan kabur serta sebabkan sakit kepala kerana otot mata kita terjejas.
"Penggunaan gajet secara dekat dalam tempoh masa yang panjang juga boleh menyebabkan ketegangan otot mata, bukan hanya berbaring atau mengiring sahaja," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Muhammad Adam yang berkhidmat di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn berkata, selain menggunakan gajet dengan jarak sekurang-kurangnya 40 sentimeter dari mata, pencahayaan yang mencukupi juga penting sebagai langkah pencegahan daripada masalah mata.
"Jangan tengok dalam keadaan gelap kerana ia boleh menyebabkan mata kita bekerja lebih keras sebab nak sesuaikan dengan pencahayaan sebab skrin terang, sekeliling gelap, yang boleh menambah tekanan pada otot mata," katanya.
Sementara itu, Pakar Klinikal dan Bedah Mata Datuk Dr Mohd Johari Mohamad berkata, kemungkinan individu di bawah 18 tahun untuk terkena masalah juling air lebih tinggi berbanding dewasa kerana power (kuasa) mata masih berubah dan bola mata masih berkembang.
"Sebelum usia 23 tahun (awal 20-an) refractive power (kuasa refraktif) masih boleh berubah dan bola mata kita masih beransur-ansur membesar, dengan kata lain kuasa refraktif mata masih tidak begitu stabil," katanya menambah, tanda-tanda awal juling air termasuk sensitif terhadap cahaya dan sering berasa pening kepala.
Menurut Pengarah Pusat Pakar Mata Bangi itu lagi, meskipun risiko orang dewasa untuk terkena masalah juling air disebabkan penggunaan peranti pintar agak kurang, namun mereka boleh terdedah kepada fenomena gejala glaukoma iaitu penyakit saraf optik mata, umumnya berpunca daripada tekanan tinggi pada bola mata.
"Kuasa refraktif mata yang tinggi boleh mengalami kecenderungan gejala glaukoma. Gejala fenomena Normal Tensive Glaucoma (NTG) iaitu Jenis Glaukoma Tekanan yang Normal juga boleh dikesan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang sentiasa terdedah kepada pengunaaan peranti berpanjangan.
"Penyakit saraf optik mata diibaratkan hakisan tebing pantai kerana tekanan ombak tinggi. Hakisan saraf optik tersebut sehingga menjadi nipis boleh menghilangkan fungsi saraf kemudian boleh juga jadi buta kekal," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk membuat pemeriksaan ujian mata sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengatasi masalah gejala penyakit kronik mata seperti glaukoma dan degenerasi makula.
Berkongsi pendekatan bagi merawat masalah juling air akibat penggunaan gajet terlampau lama, Dr Johari berkata, antara yang boleh diamalkan adalah dengan memakai cermin mata mengikut refraksi tepat atau menjalani pembedahan membetulkan juling jika keadaan serius.
"Biasanya kita galakkan pakai cermin mata dahulu dan jika ada masalah alergik yang menyebabkan kekeringan mata, kita akan rawat bagi stabilkan tisu mata," katanya menambah tempoh rawatan kebiasaannya antara enam hingga 12 bulan bergantung kepada umur serta tahap keseriusan.
Dr Mohd Johari yang menerima sekurang-kurangnya 200 pesakit sebulan menyarankan pengguna tidak menatap telefon lebih daripada sejam dalam satu tempoh masa selain mengamalkan pengambilan buah-buahan yang kaya dengan vitamin A dan E serta jus segar buah berwarna kuning yang baik untuk kesihatan mata.
-- BERNAMA