Rio 2016: Menang separuh akhir 200 meter, Usain Bolt 'buat muka' lagi
Madiha Abdullah
Ogos 18, 2016 15:00 MYT
Ogos 18, 2016 15:00 MYT
MANUSIA terpantas di dunia sekali lagi menjadi viral.
Jika beberapa hari lepas, sekeping foto dia tersenyum girang ketika menghampiri garisan penamat acara 100 meter kecoh diperkatakan, hari ini foto yang hampir sama juga menjadi topik perbualan.
Mungkin mengambil iktibar dari apa yang berlaku sebelum ini, jurugambar dari pelbagai agensi media seolah-olah sudah mensasarkan untuk mengabadikan detik Usain Bolt menamatkan larian dalam acara separuh akhir 200 meter.
Bolt menamatkan larian di tempat pertama dan mara ke peringkat akhir.
Hasilnya, banyak foto yang memaparkan reaksi gembira Bolt berjaya dirakamkan.
Menariknya, kebanyakan foto memperlihatkan Bolt seolah-olah sedang berbual dan ketawa riang dengan pemenang tempat kedua, Andre De Grasse.
Ramai berpendapat foto-foto ini membuktikan kehebatan Bolt yang dilihat tidak perlu bersusah payah untuk menang.
Namun jika dilihat daripada video khususnya gerak perlahan, dapat dilihat De Grasse hampir berjaya memotong larian Bolt.
Bolt merupakan pemenang lapan pingat emas Olimpik dalam beberapa acara, antaranya 100m, 200m and 4x100m.