Rindulah... ini 5 kenangan raya dulu-dulu yang tidak dapat dilupakan
Gempak
Mei 6, 2022 11:30 MYT
Mei 6, 2022 11:30 MYT
MEMORI dan kenangan Hari Raya dahulu dan kini sudah tentu berbeza dan berubah mengikut peredaran zaman dan semasa.
Namun dari kenangan yang lalu ia pasti membuat kita rindu untuk mengimbau memori itu terutama bila bersama orang-orang yang tersayang.
Banyak kenangan raya yang menggamit memori masih kekal di sanubari sehingga ke hari ini.
Lebih-lebih lagi sudah dua tahun warga kota tidak pulang ke kampung halaman dek pandemik COVID-19.
Mari kita imbau kenangan raya dulu-dulu yang mungkin telah ‘hilang’ pada hari ini.
#1 Memori Kad Raya
Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan waktu kecil dahulu adalah kad Raya. Memori membaca kad raya sesuatu yang amat dirindui setiap kali Raya.
Kad Raya digunakan sebagai pengganti diri untuk memohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan sebelum diakhiri dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya’.
Namun pemberian kad ucapan ini semakin dilupakan selepas kewujudan media sosial yang menghubungkan seseorang tanpa batas.
#2 Berkunjung Rumah Ke Rumah Serta Hadiri Rumah Terbuka
Memori waktu kecil paling menggembirakan adalah apabila setiap kali tibanya Hari Raya sudah pasti mak ayah akan bawa anak-anaknya pergi ziarah rumah sanak saudara, jiran mahupun kenalan.
Ini kerana, hari tersebutlah semua orang dapat berkumpul dan bersembang bersama-sama.
Selain itu, paling dinantikan adalah rumah terbuka selain dapat menjamu selera pelbagai juadah tetapi yang penting dapat berkumpul bersama saudara dan rakan-rakan.
#3 Kumpul Duit Raya
Ini memori sewaktu kecil terutama bila beraya di kampung. Kalau tak pusing satu kampung cari duit raya dengan kawan-kawan memang tak sah bila tibanya musim perayaan.
Meskipun duit raya dahulu amatlah sedikit berbanding kini namun keseronokkannya berjalan bersama kawan-kawan untuk mengumpul duit raya adalah sesuatu yang kenangan yang menyeronokkan.
#4 Main Meriam Buluh
Bermain bunga api atau mercun antara kenangan paling indah terutama zaman kanak-kanak.
Jika berkunjung ke bazar Ramadan, kalau nampak saja bunga api dan mercun tak sah kalau tak minta untuk dibelikan.
Siap buat mercun sendiri pun ada sekiranya tak dapat.
Selain itu, bila di kampung tak sah rasanya jika tiada bunyi meriam buluh bergema seperti berlawan-lawan dari kampung-kampung bersebelahan.
Meriah rasanya bila sehari sebelum raya dengar sahut-menyahut bunyi meriam.
#5 Kenangan Tolong Mak Buat Kuih Raya
Ini memori dan kenangan paling dirindui apabila dapat buat buat kuih raya bersama mak dan nenek terutama di malam raya.
Seronok sangat memang terasa kehangatan Syawal keesokannya. Antara kuih tradisional yang dibuat adalah putu kacang, suji, batang buruk dan banyak lagi.
Ketika inilah digunakan untuk beramah mesra dan bergurau senda bersama ahli keluarga.
Syukur kerana kita masih diberi ingatan untuk memgimbau memori yang lalu.
*Petikan daripada artikel asal di Gempak