RFC 2023 gegar bumi Perak, uji tahap kemahiran pemandu
Bernama
Disember 2, 2023 04:45 MYT
Disember 2, 2023 04:45 MYT
IPOH: Peminat sukan lasak di negeri ini khususnya di Perak berpeluang menyaksikan kehebatan aksi pemanduan off-road menerusi Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023, yang berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat hingga 11 Dis ini.
Selepas dua tahun menyepi akibat pandemik COVID-19 dan kembali semula tahun lepas di Bera, Pahang, kali ini pertandingan permotoran itu akan menggegarkan bumi Perak buat kali kedua, sejak ia mula dianjurkan pada 1997.
"Majlis ini menjadi mercu tanda bermulanya pertandingan pacuan empat roda, yang berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia, sehingga dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia, sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.
"Penganjuran RFC Grand Final di Perak ini merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004. Setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri terpilih semasa musim hujan monsun di hujung tahun dan berjaya menarik pasukan tidak kurang dari 25 negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Peserta RFC Grand Final kali ke-26, di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, dekat sini.
Pelepasan peserta dilakukanPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Luis berkata, acara tersebut telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mencapai objektif mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan, terutamanya sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa.
"Buat julung kalinya RFC Grand Final akan menganjurkan Miss RFC, iaitu pertandingan 4x4 ekstrim khusus untuk wanita, yang bertujuan untuk menggalak dan memperkasa golongan wanita menceburi cabaran sukan lasak seperti kaum lelaki.
"Miss RFC akan disertai oleh 16 peserta tempatan, yang akan diuji ketahanan fizikal dan mental mereka melalui kemahiran memandu kenderaan 4x4 di laluan berhalangan yang direka khas dalam had masa yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, 150 jentera akan melalui laluan hutan dan kawasan pedalaman di sekitar Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong, sebelum kembali ke Ipoh untuk majlis penutup pada 11 Dis. - BERNAMA