'Reunion' bawa kelainan, beri motivasi kepada golongan yang dipinggirkan
Astro Awani
Februari 25, 2019 10:45 MYT
Februari 25, 2019 10:45 MYT
Cinta dan kasih sayang sesama insan yang tiada penghujungnya.
Demikian tema dibawakan sekumpulan bekas pelajar sebuah sekolah agama di Ipoh yang mengadakan perjumpaan semula atau 'reunion' baru-baru ini, tetapi dengan membawa satu kelainan.
Bukan seperti reunion biasa di kalangan bekas pelajar sesebuah sekolah, alumni Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah tahun 1987-1991 memilih untuk mengadakan perjumpaan di sebuah rumah perlindungan yang menempatkan wanita yang kurang bernasib baik.
Hasrat bekas pelajar ini, yang kebanyakannya sudah berjaya dalam bidang masing-masing, ialah menghulurkan kasih sayang kepada golongan ini dan memberi semangat baru kepada mereka, menurut pengarah program Dr Nor Aniza Ali Shibramulisi.
"Objektif program tanggungjawab sosial yang kami buat ini adalah untuk membantu kumpulan wanita yang tidak mendapat pembelaan dan yang makin dipinggirkan oleh masyarakat.
"Mereka ini bekas-bekas penagih dadah, dari yang baru mula hingga yang tegar, penghidap HIV, mangsa HIV yang diwarisi dari ibu bapa penagih tegar, serta bekas pekerja seks.
"Kami ingin bantu mereka bangkit semula membina kehidupan, menanam sifat jati diri dan kendiri, supaya dapat jadi seperti manusia biasa, jauh dari gejala-gejala negatif," katanya yang memiliki sebuah pusat perubatan swasta di Bukit Sentosa, Rawang.
Seramai 25 orang bekas pelajar mengambil bahagian dalam program pada Sabtu lalu, yang dinamakan 'Reunion Anta Permana', melibatkan 30 penghuni Teratak Arfidah Bukit Beruntung.
Tajuk lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza diambil sempena mesej kasih sayang yang dibawakan dalam liriknya.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah tayangan video bertema kasih sayang, makan jemaah, ceramah motivasi, terapi psikologi, demonstrasi memasak dan perkongsian kisah penghuni rumah tersebut oleh pengasasnya, Arfidah Ab Latif.
"Kami juga mahu menimbulkan kesedaran dalam kalangan alumni supaya kita tidak melabel golongan ini dengan stigma tertentu dan menghukum mereka.
"Sebaliknya, kita kena terima dan layan mereka dengan baik," kata Dr Nor Aniza.
"Ini membantu kita supaya dapat refleksi diri bahawa tiada siapa yang lebih mulia melainkan mereka yang mendapat redha Allah yang bersifat Maghfirah dan yakin masih ada cahaya di hujung terowong," tambahnya.
Dr Nor Aniza melahirkan rasa teruja dan bersyukur beliau dan rakan-rakan dapat mengekalkan silaturahim sambil menyumbang manfaat kepada golongan yang disifatkannya insan-insan terpinggir yang dahagakan kasih sayang.
"Kami berharap untuk mengadakan lagi program seperti ini pada masa akan datang, fokus kepada sentiasa memberi sokongan dan peluang kedua.
"Insan-insan sebegini sebenarnya sangat-sangat mahu berubah dan menjalani kehidupan baru serta keluar dari kesengsaraan, sesetengahnya akibat kesilapan diri pada masa lampau," katanya.