Restoran Korea: Juruterbang kongsi cara cari makanan halal di luar negara
Madiha Abdullah
Jun 23, 2016 14:26 MYT
Jun 23, 2016 14:26 MYT
SEORANG juruterbang yang berpengalaman merantau ke pelbagai negara di seluruh dunia, berkongsi pandangannya berhubung isu status halal sebuah restoran di Korea yang menjadi topik perbincangan sejak beberapa hari ini.
Dalam entri di blognya, juruterbang yang hanya mahu dikenali sebagai Sheikh itu berkata, soal status halal dan haram adalah sesuatu yang sangat dititik beratkan olehnya.
Justeru, apabila berkunjung ke negara-negara yang diketahui sukar mendapatkan makanan halal, dia punya cara tersendiri untuk menghapuskan keraguan berhubung restoran dan makanan yang dipilih.
Dia yang juga imam besar sebuah masjid di ibu kota, memberitahu perkara pertama yang perlu diperiksa sebelum makan di mana-mana restoran adalah jika restoran tersebut ada menyediakan hidangan daging khinzir dan arak.
"Namun kita akan kurangkan tahap keraguan seminimum mungkin, sama kaedah dengan menjawab soalan dalam peperiksaan untuk soalan objektif.
"Kita buang jawapan yang ternyata salah dan pilih yang paling tepat," ujarnya dalam tulisan dalam blognya, sheikh-sss.com.
Cara paling mudah untuk mendapatkan jawapan jujur adalah dengan menggunakan bahasa tempatan, seperti sake (arak) dan buuta (daging khinzir).
Bukan sahaja dalam makanan yang dihidangkan, tetapi penting juga untuk mengetahui jika kedua-dua itu ada di dalam mana-mana bahan makanan seperti kicap atau minyak masak.
"Di Korea, ada tempat makanan halal yang hasil daripada orang Turki yang berniaga di sana," tambahnya.
Dia juga menyarankan agar masyarakat Islam membawa dan membeli kelengkapan memasak sendiri, selain memilih bahan yang diyakini halal kerana makanan akan menjadi darah daging.
"Jika terdapat syubhah, elakkan," tulisnya.