Restoran di Serbia tawar daging panggang percuma kepada penerima vaksin COVID-19
Agensi
Mei 8, 2021 11:50 MYT
Mei 8, 2021 11:50 MYT
KRAGUJEVAC: Mendapatkan vaksin COVID-19 sudah pasti menjadi keutamaan ramai individu yang mahu mengelakkan daripada dijangkiti virus pada tahap yang lebih parah, sekali gus menamatkan acaan pandemik yang begitu menekan setiap jiwa dan raga manusia pada abad ke-21 ini.
Bagi memastikan orang ramai mahu mengambil vaksin COVID-19, di sebalik cerita kontroversi berkaitan kesan sampingan dan dakyah-dakyah yang disebarkan oleh golongan anti-vaksin, satu usaha pemberian vaksin di bandar Kragujevac, Serbia mungkin boleh dicontohi.
Inisiatif berkenaan ialah apabila seseorang mendapatkan suntikan vaksin, mereka akan diberi makan hidangan daging lembu panggang dikenali sebagai 'wild game goulash'.
Reuters melaporkan, pemilik restoran, Stavro Raskovic menawarkan hidangan tempatan yang popular itu sebagai cara mempromosikan vaksinasi dan berkempen untuk pembukaan semula restoran, kafe dan bar di negara itu yang ketika ini hanya boleh melayani pelanggan di luar premis.
Perintah berkurung tahun 2020 dan sekatan separa tahun ini menjadikan restoran Biblioteka Kod Milutina ke ambang 'gulung tikar', kata Raskovic.
"Perniagaan kami dan katering sangat terkesan dan sekiranya vaksinasi ini adalah jalan keluar, maka kami ingin menyumbang," jelasnya kepada Reuters.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengubah dewan utama restoran itu menjadi pusat vaksinasi untuk memberikan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinopharm China.
"Kami memiliki vaksin dari Timur dan Barat di menu, sesuai untuk selera semua orang," kata Raskovic.
Disember lalu, Serbia memulakan kempen inokulasi di seluruh negara yang membolehkan orang ramai memilih vaksin Pfizer-BioNTech, Astrazeneca-Oxford, Sputnik V Rusia atau Sinopham-China.
Seorang pelanggan, Bane Jajic, 63, memuji idea Raskovic sambil menikmati sapi panggang dan bir.
"Satu hari nanti, seseorang akan menyatakan saya telah divaksin di restoran ini," ujarnya.
Kira-kira satu pertiga daripada 7 juta penduduk Serbia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat ini.
COVID-19 telah membunuh 6,456 orang di negara Balkan itu dengan 694,473 kes jangkitan keseluruhan.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#COVID-19
#Pfizer-BioNTech
#Sinopharm
#vaksin
#China
#pandemik
#perintah berkurung
#Kragujevac Serbia