Restoran di Kochi India bantu gelandangan, sediakan peti sejuk untuk makanan lebihan

Nizam Bakeri
April 1, 2016 07:46 MYT
Peti sejuk ditinggalkan di luar kedai 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi membenarkan sesiapa mengambil makanan - Foto Facebook/Pappadavada
SEBUAH restoran di bandar Kochi di India menggalakkan para pelanggan meletakkan lebihan makanan di dalam peti sejuk yang diletakkan di perkarangan restoran agar boleh diambil oleh golongan yang memerlukan.
Restoran Pappadavada membenarkan sesiapa sahaja mengambil makanan yang ditinggalkan dalam peti sejuk pada bila-bila masa, tanpa sebarang had, dan tanpa sebarang penjelasan.
Menurut Huffington Post, Minu Pauline yang menguruskan Pappadavada menggelarkan peti sejuk itu sebagai ‘nanma maram’ yang bermaksud pohon kebaikan.
Peti sejuk itu dibuka 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Mana-mana pelanggan yang meninggalkan makanan diminta membungkus makanan tersebut dan menulis tarikh makanan tersebut ditinggalkan agar diketahui oleh sesiapa yang mengambil.
Makanan yang ditinggalkan biasanya tidak kekal lama di dalam peti sejuk. Menurut Pauline, walaupun sambutan pelanggan baik, peti tersebut perlu distok semula dengan kerap kerana sering diambil oleh golongan gelandangan.
Pauline sendiri biasanya menyumbang 75 hingga 80 hidangan dalam peti sejuk tersebut setiap hari.
Menurut Pauline, idea untuk meletakkan peti sejuk di jalanan timbul apabila dia ternampak seorang wanita gelandangan sedang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan pada waktu malam.
“Saya terfikir, wanita itu sedang tidur namun terjaga kerana lapar, jadi dia perlu mencari makanan dan tidak tidur,” ujarnya.
Dia bertambah sedih memikirkan nasib wanita tersebut kerana restorannya sentiasa menghasilkan lebihan makanan yang sepatutnya boleh disumbang.
“Wang memang milik kamu, tapi rezeki itu milik masyarakat. Itu yang saya ingin sampaikan. Kalau kamu ingin bazirkan wang, itu hak kamu, tapi kamu juga bazirkan rezeki. Jangan bazirkan rezeki, jangan bazirkan makanan,” tambah Pauline.
#India #Minu Pauline #Pappadavada #restoran
;