Restoran daun pisang pulih akhlak remaja berisiko
Shafizan Johari
Januari 5, 2019 12:14 MYT
Januari 5, 2019 12:14 MYT
PADA kebiasaannya, mana-mana remaja bawah umur yang disabitkan dengan kesalahan jenayah harus menjalani hukuman di pusat pemulihan akhlak.
Begitupun, masih terdapat kalangan remaja yang tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan tetapi sangat berisiko dan perlu dipulihkan.
Inilah yang cuba dilakukan pengusaha 'Masala Wheels' yang menggunakan model keusahawanan sosial bagi memberikan kehidupan baharu kepada golongan remaja berisiko, terutamanya yang pernah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, jenayah dan kongsi gelap.
Menerusi model ini, peserta akan dilatih menguruskan sebuah restoran dengan harapan ia akan dapat dijadikan pengalaman untuk mereka meneruskan kehidupan dalam masyarakat.
Perniagaan ini pada mulanya bergerak menggunakan konsep trak makanan pada 2015.
Ia kemudian berkembang dengan pembukaan sebuah restoran di premis tetap di Petaling Jaya, Selangor.
"Bagaimanapun lori makanan berkenaan masih kami gunakan untuk perkhidmatan katering," kata pengusahanya Kuhan Pathy kepada Astro AWANI ketika sesi penggambaran program DIAN baru-baru ini.
Menu yang disediakan pula tentunya masakan India dan Sri Lanka dengan tarikan utama nasi daun pisang.
Berkongsi pengalamannya bersama pelatih, Kuhan berkata ada pelatihnya yang merupakan bekas anggota kongsi gelap dan menjadikan jenayah sebagai kerjaya.
"Pelatih ini pernah menikam pinggan menggunakan pisau dan apabila ditanya, dia kata pisau itu sebenarnya ditujukan kepada saya kerana saya tegur dia," cerita Kuhan.
"Remaja itu menyertai Masala Wheels tahun lepas selepas neneknya sudah tidak mampu untuk mengawalnya.
"Dia berhenti sekolah pada usia 13 tahun dan walaupun mempunyai masalah sikap, dia mesra dengan pelanggan."
Kata Kuhan, remaja itu pernah mendapatkan pandangan pakar psikologi dan hasil ujian mendapati dia mengalami masalah kurang perhatian dan hiperaktif.
Ketika ini, Masala Wheel sudah melatih lebih 50 remaja dan untuk 2019 mereka bercadang untuk membuka sebuah bengkel latihan bagi memberi pelbagai latihan kepada golongan B40.
#B40
#Dadah
#Dian
#fakir
#food
#India
#jenayah
#kemiskinan
#Petaling Jaya
#remaja
#sekolah
#Sri Lanka
#zakat