Restoran cintakan negara, tarik perhatian pelanggan
Vivi Sumanti
Oktober 21, 2018 10:14 MYT
Oktober 21, 2018 10:14 MYT
Seorang anak muda mengambil pendekatan melalui makanan bagi menyatupadukan rakyat di negeri ini.
Muhammad Arif Yusoff, 25, mengusahakan restoran makanan, Mahy Steamboat dengan membawa konsep kenegaraan dan tradisional sejak tahun lalu.
Arif berkata, berbeza di kedai steamboat lain, dia menyediakan lebih 50 jenis menu bercirikan kegemaran rakyat Malaysia seperti sate ayam dan daging, udang galah, puyuh, ikan siakap serta aneka buah-buahan tempatan antaranya rambutan, duku dan manggis.
Katanya, kebiasaannya restoran steamboat yang lain menghidangkan menu berasaskan makanan sejuk beku seperti sosej dan bebola ikan.
"Cara steamboat kami juga kami gunakan dapur tradisional iaitu dengan menggunakan arang dan yang diisi dalam bekas keluli tahan panas dan makanan dibakar di atas rak berjaring berbanding dapur elektrik," katanya yang mengusahakan restoran itu di Wakaf Stan, Kubang Kerian.
Arif berkata, makanan yang dibakar dengan dapur 'ala kampung' itu memberi aroma yang lebih sedap digabungkan dengan aneka sos yang disediakan seperti sos cili, tomato dan sambal hijau.
Lebih menarik, hiasan bendera Malaysia turut ditampal di sekitar bangunan restoran sejak Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan.
Katanya, semangat cintakan negara diserapkan secara tidak langsung kepada pelanggan yang berkunjung selain dia juga mempunyai pekerja dari pelbagai negeri, antaranya Sarawak dan Pahang, yang turut memberi idea kepadanya untuk sentiasa menanamkan semangat cintakan negara kepada orang awam.
"Saya juga tampal lebih 800 bendera dan tempah khas baju-T untuk pekerja yang mengunakan lambang bendera Malaysia sebagai sokongan anak muda dalam terus menyayangi negara kita," katanya.
Restoran yang terletak di bawah jambatan menghala ke Balai Polis Binjai itu beroperasi bermula jam 4 petang hingga jam 12 tengah malam.