Resipi Nasi Lemak Bunga Telang rangkul emas, julang nama chef Malaysia di Ireland!
Najmi Syahiran Mamat
Februari 6, 2020 13:54 MYT
Februari 6, 2020 13:54 MYT
MALAYSIA sekali lagi berada di pentas dunia apabila seorang chef negara ini berjaya meraih pingat emas dalam sebuah pertandingan masakan di Dublin, Ireland.
Siti Safura Mohd Tawil mendapat tempat pertama dalam pertandingan kelas masakan Asia-India di pertandingan Kulinari Chef Ireland 2020 (Chef Ireland Culinary Competition) yang dianjurkan oleh barisan panel chef dari Ireland.
Namun, apa yang menarik apabila Safura mempertaruhkan menu kegemaran rakyat Malaysia iaitu resepi Nasi Lemak Bunga Telang dalam pertandingan itu.
Menerusi perkongsian gambarnya bersama pingat di laman sosial Facebook, Safura memaklumkan dia dianugerahkan pingat emas itu dalam pertandingan yang diadakan di Pameran Food & Bev Live 2020 semalam.
“Terima kasih Duta Besar Malaysia TYT Encik Zakaria Nasir dan isteri Puan Junainah untuk sokongan yang tidak terhingga,” tulis Safura.
“Juga terima kasih kepada Chef Boy, Chef Fauzan, Dr. Esa dan Tuan Razman untuk nasihat dan pandangan. Sangat dihargai,” tambahnya lagi.
Safura yang kini menetap di Ottawa, Ontario, Kanada turut berkongsi tentang keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan, namun dia tetap bersyukur atas kemenangan itu.
Rata- rata netizen memberikan komen yang positif ke atas kejayaannya di Dublin itu.
#chef muda
#dublin
#nasi lemak
#nasi lemak bunga telang
#pertandingan memasak
#rakyat Malaysia
#Siti Safura Mohd Tawil