Renungan dari England
Datuk Halimah Mohd Said
Mac 29, 2019 12:08 MYT
Mac 29, 2019 12:08 MYT
PULANG
Tiap kali aku menapak bumimu England
Bagai bangau menghinggapi kerbau;
Ombak beralun balik ke tepi pantai
Hujan renyai menyerapi bumi;
Sebentar rasa pulang,
Seketika rasa puas,
Sekejap rasa tenang;
Seolah dibelai penawar rindu
Menumpang kasih di pangkuan ibu susu.
Bukan kerana untung dan megah
Dapat memeluk gading bertuah;
Lebih daripada itu,
Tanduk kerbau ku genggam kukuh,
Kampung halaman teratak berteduh;
Tetap ku tatang, tetap ku sayang.
Namun kau England
Menusuk zahir batinku,
Membuai mimpi dulu,
Mengimbas ingatan lalu,
Fatamorgana syurga abadi di kalbu;
Jiwamu England tetap ku rindu
Sajak ini dinukil daripada koleksi tulisan yang bermula sejak 1998 semasa masih berkhidmat di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.
Dua tahun sebelum bersara rancangan dibuat untuk menulis dan melukis dengan serius. Alhamdulillah kedua hasrat kini direalisasikan dengan penuh azam.
Hubungan dengan hati sanubari Inggeris bermula menerusi buku-buku yang dibaca sejak kecil lagi termasuk koleksi tulisan Enid Blyton diikuti dengan klasik penulis-penyajak era Elizabethan, Victorian dan Romantik hingga ke sekarang.
Sentiasa teringin meninjau sendiri negara dan hati perut rakyatnya yang menghasilkan karya-karya prosa dan puisi yang begitu indah dan merangsang. Juga lukisan-lukisan yang menggambarkan landskap kampung halaman mereka.
Hubungan diperkukuhkan dengan perolehan ijazah muda Sastera Inggeris yang memudahhkan karier sebagai guru dan pensyarah Inggeris di sekolah menengah dan universiti selama 32 tahun.
Terselit pula peluang menetap di England semasa menjalani program sarjana linguistik terapan, penyelidikan dalam bidang semantik dan pragmatik Inggeris serta teori penterjemahan bahasa Inggeris-bahasa Melayu.
Bertahun-tahun lamanya menyelami bahasa, sastera dan budaya orang hingga sebati rasanya.
Akan tetapi, tidak pernah melupakan asal usul dan akar tunjang nyawa dan budaya sendiri semasa asyek bercampur gaul dalam sosio-budaya dan arena akademik di England.
Tetapi selalu berfikir kenapa orang Inggeris menghalusi adab dan etika pada tahap yang tinggi. Bukankah ini serupa dengan orang Melayu?
Bahasa mereka dan pemilihan leksikal diguna dengan tepat jika ketepatan makna dipelui. Sebaliknya mereka menghalusi innuendo dan sindiran jika ingin mencadangkan makna-makna sampingan.
Terlintas dalam fikiran, kenapa bahasa Melayu belum lagi dapat diartikulasi pada tahap yang lebih canggih terutama oleh para pemimpin negara?
Bukankah elok jika ahli politik negara menggilap kegunaan bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris menerusi kursus dan bengkel komunikasi yang relevan supaya segala pembangunan negara dapat dijelaskan dengan jayanya kepada rakyat jelata.
Memang banyak perbandingan sosio-budaya dibuat dan perbezaan diperhatikan. Salah satu tabiat orang Inggeris yang harus dicontohi khususnya di kalangan para akademik-penyelidik ialah betapa komited dan berdedikasi mereka melakukan penyelidikan, tidak kira ianya sekecil jari kelengkeng atau terletak jauh daripada tempat tinggal.
Mereka sanggup melakukanya di negara lain untuk kebaikan orang tempatan tetapi kerap dipandang serung dan dituduh mencuri warisan orang lain untuk kegunaan sendiri.
Padahal orang tempatan sendiri tidak berminat untuk melakukannya. Kemungkinan dunia akademia sudah lama berkembang di negara mereka dan di negara kita baharu memutik.
Akan tetapi, saya tetap bangga sebagai bangsa Malaysia yang ingin menghayati nilai-nilai yang mulia di mana-mana sahaja.
Nilai-nilai kita juga banyak yang baik dan harus dipegang kukuh. Sekiranya nilai nenek moyang kita yang mulia tidak dihiraukan lagi, harus dihidupkan kembali dalam masyarakat kita.
Terlintas di kepala bahawa amanah ialah satu-satunya nilai Islam yang terpenting, yang harus menjadi pegangan utama seorang insan pada setiap tahap hidupnya.
Begitu juga nilai “integriti” dalam masyarakat Inggeris. Perkataan Inggeris mungkin lebih padat dari segi maknanya kerana merangkumi pelbagai pengertian termasuk “honest”, “trustworthy”, “forthright’, “upright”, “tidak bercakap bohong”, “pegang pada prinsip” dan lain lain lagi.
Malangnya apabila dipinjam dan digunakan dalam bahasa Melayu makna-makna komposit ini tidak dijelaskan dengan tepat.
Mungkinkah ini sebabnya rakyat Malaysia tidak dapat membezakan antara makna perkataan “curi” dan “pinjam”, “upah” dan “rasuah”?
Mungkinkah bangau dan kerbau sememangnya sudah lama saling membantu di sawah padi dan tidak boleh dipisahkan daripada aspek sosio-budaya masyarakat kampung kecuali dengan pendidikan dan pendedahan yang hebat?
Berbalik kepada puisi di atas, Malaysia bukan lagi kampung halaman yang mundur untuk dibelai dengan penuh nostalgia tetapi kini dipenuhi dengan menara gading yang mewah dan indah-indah belaka.
Teratak atas tanah di kampung sudah digantikan dengan kondo yang tinggi mencecah awan. Mungkinkah psyche penduduknya sudah berubah daripada rendah diri dan segan kepada hidung tinggi dan sombong?
Harap ini tidak benar. Harapan semoga yang baik akan muncul dan yang buruk akan dihapuskan sahaja.
Pada tahap peribadi, masih dirindui masa yang lampau di mana ibubapa dan nenek moyang kita terdiri daripada orang yang baik-baik belaka. Doa semoga anak-cucu kita merenung kembali ajaran dalam rumah tangga yang penuh dengan nilai-nilai murni.
* Datuk Halimah Mohd Said merupakan Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.