Remaja OKU menderita akibat ulat keluar di bibir
Saraya Mia
April 17, 2019 12:11 MYT
April 17, 2019 12:11 MYT
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun kini menderita apabila bibirnya dipercayai mula membengkak akibat jangkitan.
“Keadaan remaja yang kurang upaya dan tidak dapat berkomunikasi dengan sempurna menyebabkan kesakitan dilihat pada air mata yang mengalir di sudut pipinya,” kata Dr Khairul ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Menurut Dr Khairul, seorang doktor pergigian yang telah merawat remaja itu di Klinik Pergigian Sik, Kedah, bibirnya mula bengkak akibat pembiakan larva lalat menyebabkan ulat mula keluar dari bibirnya.
“Myiasis merupakan jangkitan larva serangga seperti lalat yang memasuki tubuh badan melalui luka terbuka dan membiak serta mengakis tisu manusia,” jelas Dr Khairul.
Remaja perempuan tersebut menghidap penyakit perkembangan saraf, Spastic Quadreplegia Cerebral Palsy yang menyebabkan bandanya lumpuh sepenuhnya sejak umur enam tahun.
“Jangkitan larva serangga boleh berlaku kepada orang kurang upaya atau pesakit kencing manis yang mengalami luka terbuka di tubuh badan,” tambah beliau.
Keadaan remaja kurang upaya yang tidak boleh bergerak pada ketika itu menyebabkan lalat menghinggap di kawasan luka di bibirnya kemudian bertelur dan membiak.
Pada 12 April lalu, remaja bernasib malang itu telah dirawat oleh pakar pembedahan mulut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah dan didapati terdapat 16 ekor larva lalat dikeluarkan dari luka di mulutnya.
Dr Khairul turut nasihat supaya pesakit atau pengurus pesakit sentiasa sedar jika terdapat luka terbuka di mana-mana tubuh badan supaya dapat mengelak daripada dihinggap serangga dan dijangkiti myiasis.
“Luka juga harus dibersihkan setiap hari supaya tidak dijangkiti larva serangga,” tambahnya.
Proses pemulihan remaja tersebut kini bertambah baik dan pemeriksaan kesihatan selanjutnya akan diadakan di Hospital Sik pada 18 April.